Perodua Axia – EEV yang mudah dikendalikan
Selepas sesi pra-pengenalan Axia kepada pihak media yang berlangsung petang semalam, Info Kereta juga berpeluang memandu uji dua varian Axia iaitu Standard E (transmisi manual 5-kelajuan) dan SE (transmisi auto 4-kelajuan) dalam tempoh lima minit bagi setiap satu daripadanya. Jadi sukar juga untuk membuat ulasan yang lebih terperinci mengenai sesi pandu uji ini. Malah perician yang dikhabarkan kepada pihak media juga masih embargo sehingga hari pelancarannya kelak.
Apa yang boleh Info Kereta katakan, Perodua Axia ini merupakan sebuah kereta kompak EEV yang bakal menepati cita rasa rakyat Malaysia, selain ditawarkan pada harga yang berpatutan, ia juga diyakini mampu memberikan penjimatan bahan api yang efisien.
Axia dijanakan oleh enjin 1KR tiga-silinder, iaitu enjin yang sama yang digunakan oleh model Ayla untuk pasaran Indonesia yang dikeluarkan oleh Daihatsu. Enjin berkapasiti 1.0 liter 12-injap DOHC ini mampu menghasilkan kuasa 65 PS pada 5,000 rpm dan tork 87 Nm pada 3,600 rpm.
Malah difahamkan enjin dan transmisi yang dipadankan untuk Axia ini adalah serba baharu dan merupakan yang pertama kali digunakan untuk barisan model Perodua. Dan Info Kereta juga mendapati kedua-dua transmisi yang digunakan lebih lancar berbanding dengan model Myvi atau Viva. Klac bagi transmisi manual juga agak lembut cuma tuil gearnya sedikit keras. Manakala transmisi automatik tiada masalah langsung.
Perodua mendakwa Axia memiliki jejari pusingan sehingga 4.5 meter dan ini memudahkan pemandu untuk membuat pusingan U. Di dalam pandu uji ini, Info Kereta juga berkesempatan membuat pusingan U, ia memang mudah untuk dilakukan cuma putaran sterengnya agak ‘perlahan’, jadi harus ‘memaksanya’ bertindak lebih pantas dan responsif.
Axia memiliki ukuran Axia 3640mm panjang, 1620mm lebar dan 1510mm tinggi, dan ternyata ia kelihatan lebih besar berbanding Viva. Dan memeranjatkan juga apabila ruang dalamannya juga lebih luas terutamanya untuk ruang kaki pada bahagian tempat duduk belakang serta ruang kargo yang lebih besar iaitu 260 liter berbanding dengan Myvi. Kagum kan!
Perodua Axia dijangka bakal dilancarkan pada awal September ini. Setelah membuka tempahan mulai 15 Ogos lalu, sebanyak 3,500 unit tempahan telah diterima (rekod setakat pagi 19 Ogos). Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid berkata, Perodua mensasarkan jualan sebanyak 30,000 unit Axia untuk tahun ini. Dan mengatakan kemungkinan besar varian spesifikasi pertengahan yang bakal lebih laris jika mengikut aliran tempahan model-model Perodua yang lain seperti Alza.
Malah buat setakat ini, Perodua belum membuat keputusan untuk mengeksport Axia ke negara lain kerana inigin memberikan tumpuan pada pasaran Malaysia terlebih dahulu. Axia sememangnya dibangunkan berdasarkan citarasa rakyat Malaysia biar pun ia berkongsi platform dengan Daihatsu. Namun menurut Aminar, imej Axia telah direka semula oleh barisan pereka dalaman Perodua sendiri bagi memenuhi citarasa tempatan, malah boleh dikatakan lebih baik berbanding dengan model Daihatsu sendiri.
Dengan harga yang ditawarkan, Perodua turut memperkenalkan waranti lima tahun untuk Axia. Jadi, ini memberi point yang lebih bermakna untuk anda fikirkan jika ingin membeli kenderaan baharu atau pun kenderaan kedua. Axia patut berada dalam senarai pilihan!
8 Comments