Perodua Axia menepati cita rasa rakyat Malaysia
Bagaikan mengambil ‘berkat’ sambutan Hari Malaysia pada 16 September, malam ini bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre, Perodua melancarkan model kesepuluhnya, Perodua Axia. Ia merupakan kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama di Malaysia dengan menawarkan empat varian iaitu Standard E (MT), Standard G (MT/AT), Special Edition (MT/AT) dan Advance (AT).
Majlis pelancaran Axia ini telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin, yang diiringi oleh Duta Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa, Pengerusi Perodua Tan Sri Asmat Kamaludin, Pengerusi Daihatsu Motor Company, Koichi Ina dan Presiden merangkap CEO Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh.
Axia menggunakan platform yang sama dengan Daihatsu Ayla, tetapi boleh dikatakan ia menerima rekaan serba baharu bagi reka bentuk luaran dan dalamannya. Diproduksi bagi menepati cita rasa rakyat Malaysia, Axia dijanakan oleh enjin 1KR-DE2 1.0 liter tiga-silinder 12-injap DOHC yang mampu menghasilkan kuasa 66 hp pada 6,000 rpm dan tork 90 Nm pada 3,600 rpm.
Bagi kotak gear automatik empat-kelajuan, ia merupakan transmisi baharu yang diadaptasikan oleh Perodua. Malah InfoKereta.com yang pernah memandu uji Axia sebelum ini di litar uji Perodua, mendapati kotak gear automatik ini lebih lancar berbanding dengan model Perodua yang lain. Tahniah untuk Perodua kerana berjaya menghasilkan transmisi automatik sebaik ini. Manakala transmisi manual lima-kelajuan adalah sama dengan model Perodua yang sedia ada.
Nama “Axia” atau sebutannya ‘A-Zee-A’ dipilih hasil gabungan perkataan Asia, manakala abjad “X” pula menunjukkan nombor 10 dalam angka Roman yang mewakili model ke-10 yang dikeluarkan Perodua.
Boleh dianggap sebagai transformasi baharu, Perodua telah memperkenalkan empat garis utama bagi menepati standard tersebut iaitu mesra alam, ruang luas untuk kereta kompak, pemanduan mudah dan ekonomik dari segi kos pemilikan bermula dengan model Axia ini. Malah Perodua juga akan menerapkan keempat-empat elemen ini untuk modelnya yang akan datang.
Harga yang ditawarkan adalah kurang daripada harga tentatif yang pernah diumumkan sebelum ini iaitu antara RM300 hingga RM2,770.
Harga yang ditawarkan adalah seperti berikut :
Standard E (Manual) : RM24,600 (Solid)/RM25,000 (Metalik)
Standard G (Manual) : RM29,800 (Solid)/RM30,200 (Metalik)
Standard G (Auto) : RM32,800 (Solid)/RM33,200 (Metalik)
SE (Manual) : RM36,800 (Solid)/RM37,200 (Metalik)
SE (Auto) : RM30,800 (Solid)/RM40,200 (Metalik)
Advance (Auto) : RM42,130 (Solid)/RM42,530 (Metalik)
Menurut Aminar yang berucap dalam sidang media yang dijalankan dua jam sebelum majlis pelancaran, selepas membuka tempahan mulai 15 Ogos lalu, sehingga ke hari ini, Perodua telah menerima hampir 13,500 unit tempahan. Di mana varian pertengahan iaitu Standard G memonopoli tempahan sebanyak 50 peratus. Manakala varian Advance dan Standard E pula antara 17 peratus serta selebihnya adalah daripada varian SE.
Ketika ditanya, apakah pandangan Perodua apabila varian E yang tidak begitu banyak menampilkan elemen tidak seperti varian lain (tiada radio, pembesar suara, bilah pengilap cermin belakang dan rear defogger, tiada kit badan dan sebagainya), Aminar menjawab, “Mengikut kajian yang dilakukan oleh Perodua, maklum balas yang diterima mengatakan kebanyakan pelanggan kami memilih untuk memodifikasi kenderaan sendiri jika mereka mahu. Bukan itu sahaja, kami lebih mensasarkan sekolah memandu untuk membeli varian ini dan ternyata ia memang dapat banyak sambutan di kalangan mereka.”
Selain menawarkan harga yang berpatutan, Axia juga dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien iaitu 21.6km per liter untuk transmisi manual dan automatik pula 20.1km per liter.
Namun menurut Perodua, untuk mencapai penggunaan bahan api sebaik itu, disarankan agar menggunakan minyak enjin sintetik-penuh (0W-20 API SN) yang diformulasikan khas untuk Axia, selain mampu menambahkan lagi prestasinya.
Axia juga telah mencipta sejarah dalam industri automotif tempatan mahu pun dunia dengan cangkuk anti-ragut (anti-snatch hook) yang dipasang pada sisi sebelah kanan tempat duduk penumpang hadapan. Di mana anda boleh mencangkuk beg (terutamanya bagi golongan wanita) pada cangkuk berkenaan dan ia mempunyai klip khas untuk mengelakkan beg anda diragut ketika berada di dalam kenderaan. Ini adalah langkah keselamatan yang boleh dikatakan sangat relevan yang diperkenalkan oleh Perodua memandangkan di negara kita memang banyak berlakunya kes pecah kenderaan sewaktu berhenti di lampu isyarat.
Dengan tagline “Your Smart Move”, Axia diyakini mampu mewakili Perodua untuk menjadi kenderaan yang kompetitif di peringkat global iaitu daripada segi kualiti, imej yang dipertaruhkan, elemen yang ditampilkan dan juga harga yang dianggap berbaloi.
Ditawarkan pada dua warna baharu bagi Standard E dan G iaitu Lemongrass Green dan Cherry Blossom, manakala untuk varian SE dan Advance pula Lava Red dan Sunflower Yellow, warna lain yang turut ditampilkan ialah Midnight Blue, Ebony Black, Glittering Silver dan Ivory White.
Sempena dengan pelancaran Axia ini, Aminar turut mengumumkan bahawa Perodua turut memperkenalkan tempoh waranti baharu bagi Axia dan ia turut dilaksanakan bagi model Myvi serta Alza iaitu lima tahun waranti. Namun pakej servis percuma selama tiga tahun yang dipraktikkan sebelum ini ditamatkan serta-merta.
Bukan itu sahaja, Perodua juga memperkenalkan Tabung Prihatin Perodua di mana dana yang dikutip adalah hasil jualan setiap unit Perodua iaitu RM10 bagi setiap unit dan RM5 bagi setiap unit yang dihantar ke Pusat Servis Perodua, ia akan berlangsung bermula hari ini sehingga 15 Oktober akan datang.
Tabung ini juga akan disediakan di kesemua pusat pameran Perodua dan juga pusat servis Perodua. Dana yang dikutip ini akan disalurkan pada Tabung Aman Palestin bagi pembangunan semula bandar Gaza, serta keluarga mangsa (rakyat Malaysia) MH17 dan MH370.
Perodua Axia akan mula dipamerkan esok di kesemua 180 pusat pameran Perodua di seluruh negara.
Untuk mengetahui sedikit ulasan mengenai pandu uji Axia serta elemen menarik yang ditampilkan pada setiap varian, sila KLIK DI SINI.
Perodua Axia Advance
Kabin Perodua Axia SE
Perodua Axia Standard G