Honda Civic facelift tampil lebih menawan – Harga dari RM113,800
Penghujung Oktober yang lalu, iklan yang disiarkan menerusi laman web klasified oto.my, telah ‘membongkarkan’ rahsia Honda Civic versi facelift dikatakan bakal muncul tidak lama lagi. Akhirnya ia menjadi kenyataan apabila laman web rasmi Honda Malaysia mengesahkan model ini telah pun bersedia ditempah!
Model Civic facelift telah pun berada di bilik pameran Honda terpilih. Mengikut laman web Honda, ia ditawarkan dengan harga atas jalan bermula RM113,800 (tanpa insurans) untuk varian 1.8 S. Iaitu berkurang sebanyak RM2,180 untuk model terdahulu yang dilancarkan pada tahun 2012 iaitu dengan harga RM115,980.
Walau pun ditawarkan pada harga yang lebih rendah, namun Honda tidak mahu menghampakan para pembelinya dengan mengurangkan elemen sedia ada. Malah turut memperhebatkan model facelift ini dengan pelbagai lagi elemen menarik, termasuklah Kemasukan Kunci Pintar dengan butang penghidup enjin, kawalan kelajuan dan lampu utama automatik. Malah penghawa dingin automatik, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan dua beg udara juga dikekalkan.
Bagi model 2.0 S pula turut menerima padanan lampu utama automatik, tetapi ditambah lagi dengan jumlah beg udara sebanyak enam unit. Sebelum ini, dengan harga RM131,980, varian 2.0 S hanya memiliki lampu utama HID, enam pelarasan berkuasa tempat duduk pemandu, tempat duduk balutan kulit dan pedal penukar gear. Kini ia ditawarkan pula pada harga RM125,800.
Manakala varian 2.0 Navi pula pastinya lebih menawan daripada 2.0 S, ia telah diberi penambah baikan untuk sistem unit skrin sesentuh bersaiz tujuh-inci (berbanding hanya 6.1 inci sebelum ini), unit kepala yang turut berfungsi sebagai navigasi, Mirror Link untuk sambungan telefon pintar terus pada skrin, Personal Media Access dan paparan kamera undur.
Ia turut menampilkan sambungan Bluetooth untuk kit bebas tangan, dua port USB dan port HDMI. Harga bagi varian ini ialah RM132,800 (berbanding harga dulu RM136,980).
Manakala bagi perubahan yang ditampilkan pada bahagian luarannya, ia kelihatan lebih segak bergaya dengan kehadiran gril hadapan sarang lebah baharu dengan elemen krom pada bahagian bawah. Selain itu, bahagian tengah corong pengambilan utama turut dihadirkan dengan kekemasan krom.
Model Civic facelift ini juga memiliki warna baharu iaitu Twilight Blue (sama seperti model CR-V), selain kelabu, hitam, putih dan perak.
Bagi yang inginkan gaya lebih sporty, pilihan aksesori Modulo dan Mugen tetap ditawarkan untuk mereka yang berminat.
Manakala bagi bahagian kabinnya pula, memang tidak banyak perubahan melainkan terdapat kekemasan yang sedikit berbeza termasuklah bayangan berwarna biru pada bahagian instrumen dan juga gegelang di sekeliling corong penghawa dingin pada bahagian pemandu.
Walau bagaimana pun, tiada perubahan mekanikal dilakukan. Civic ini masih dijanakan oleh enjin 1.8 liter (141 PS/174 NM) dan 2.0 liter (155 PS/190 NM). Kedua-duanya masih mengekalkan enjin SOHC i-VTEC yang dipadankan dengan kotak gear automatik torque converter lima-kelajuan. Juga mengekalkan rim aloi bersaiz 16 inci untuk varian 1.8 dan 17 inci untuk 2.0.