Suzuki Jimny kini di Malaysia – dijual pada harga RM87,305 (manual) & RM92,435 (auto)
Tadaaaaa!! Akhirnya Suzuki Jimny tiba di Malaysia! Setelah 15 tahun diproduksikan dan sudah pun melahirkan tiga generasi, Suzuki Malaysia Automobile Sdn Bhd akhirnya membawa masuk Jimny ke pasaran tempatan.
Walau pun hanya didatangkan dalam satu varian sahaja iaitu JLX yang diimport terus dari Jepun, namun ia lebih baik ada daripada tiada langsung. Jadi untuk anda yang tercari-cari SUV mini tahan lasak, ini mungkin boleh dijadikan jentera terbaik untuk dilenjan!
Dipadankan dengan enjin petrol 1.3 liter M13A empat silinder DOHC 16-injap, Jimny mampu berhamburkan kuasa maksimum 84hp pada 6,000rpm dan tork 110Nm pada 4,100rpm. Sama ada memilih transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan, pastinya SUV mini ini mampu menyalurkan kepuasan di dalam pemanduan. Terutamanya jika ia dilenjan dalam pemanduan yang lasak dan agresif termasuklah di laluan off-road.
Walau bagaimana pun, Jimny tetap dilengkapi dengan unit hiburan seperti pemain CD, MP3 dan AUX berserta dua pembesar suara dan terdapat juga butang kawalan audio pada stereng. Malah turut dilengkapi elemen asas lain seperti dengan reverse sensor, rel bumbung berwarna hitam dan kunci immobiliser. Manakala bagi aspek keselamatan pula, dua beg udara bersama ABS, EBD dan BA turut diterapkan pada Jimny.
Dengan sistem pacuan empat roda dengan ciri standard, jentera ini turut menawarkan mod pemanduan 2WD, 4WD dan 4WD-L di mana butang kawalannya terdapat pada papan pemuka. Untuk menukar mod pemanduan ini, jentera harus berada dalam kelajuan 100km/j.
Mengenai aspek ketegaran kerangkanya, Jimny dipadankan dengan suspensi gegelung spring jenis gandar untuk bahagian depan dan belakang serta tambahan bar penstabilan torsion di hadapan. Manakala bagi sistem brek pula, cakera brek di depan dan brek dram di belakang dipadankan bagi mendapatkan kuasa pemberhentian yang lebih responsif.
Dengan pilihan warna Silky Silver Metallic, Superior White, Prime Ever Green dan Metallic Quasar Gray, Jimny sudah boleh dimiliki pada harga atas jalan (berserta insuran) RM87,305 (manual) dan RM92,435 (auto). Setiap pembelian turut ditawarkan dengan jaminan tiga tahun atau 100,000 km (mana yang terdahulu).