Honda HR-V dijangka cetus fenomena luar biasa – Harga mungkin di bawah RM120k!
Sejak Honda mengumumkan kelahiran model SUV kompak terbaharunya yang pada mulanya dikenali sebagai Honda Vezel, pada awal tahun lalu, ternyata ramai yang tidak sabar dan cukup teruja untuk menantikan kehadirannya. Setelah dilancarkan di negara jiran iaitu Indonesia dan Thailand, kehadiran Vezel atau kini lebih dikenali HR-V kian didambakan di Malaysia pula.
Kini…masanya kian tiba. HR-V telah pun muncul di pasaran Malaysia dan bakal dilancarkan secara rasminya awal Februari ini. Hari ini, buat pertama kalinya Honda Malaysia telah mempertontonkan HR-V di khalayak ramai, sekali gus membuatkan ramai yang tidak sabar untuk melihatnya secara lebih dekat, malah sudah merancang untuk menempahnya. Ternyata HR-V mampu mencipta fenomena tersendiri seperti mana Jazz tiba di Malaysia sedekad yang lalu.
HR-V atau nama panjangnya Hip & Smart Runabout Vehicle membawakan persona yang tersendiri. Ia boleh dianggap sebagai kenderaan generasi baharu dengan bersandarkan kualiti yang dinamik dan elemen keselamatan SUV, keterujaan seperti Coupe serta kepelbagaian fungsi dan keselesaan umpama Minivan. Pendek kata, HR-V dikatakan telah menggabungkan sisi elegan dan keseronokan pemanduan yang memberikan prestasi penuh dinamik.
Adik kepada CR-V ini memilih untuk dikuasakan oleh enjin 1.8L i-VTEC SOHC yang bergabung tenaga dengan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT) yang dibangunkan di bawah teknologi unggul ciptaan Honda, Earth Dreams. Ia memberikan kelebihan bagi prestasi pemanduan dan penjimatan bahan api.
HR-V berukuran 4,294 mm panjang, 1,772 mm lebar dan 1,605 mm tinggi serta memiliki jarak roda 2,610 mm. Malah ia juga memberikan sudut pandangan yang lebih luas bagi pemandu yang dioptimumkan oleh kelebaran tiang hadapan kerangka. Bukan itu sahaja, keselesaan pemanduan juga lebih terserlah hasil daripada pusat graviti yang lebih rendah.
Melihat akan imej yang ditonjolkan ini, HR-V mempertaruhkan gaya sporty, ranggi dan elegan. Bahagian hadapannya cukup menyerlah dengan padanan lampu utama LED, lampu pencahayaan siang LED dan gril yang penuh bergaya.
Bagi menambahkan lagi elemen yang dipertaruhkan itu, HR-V turut dipadankan dengan rim aloi bersaiz 16-inci. Manakala bahagian belakangnya menampilkan lampu kombinasi LED yang membiaskan sedikit imej agresif buat HR-V ini.
Manakala antara elemen yang diketengahkan pada bahagian kabinnya ialah konsol tengah tinggi dengan tempat perehat tangan, meter ambien, poket konsol dengan port USB dan HDMI, tujuh pemegang cawan, paparan audio tujuh-inci, enam pembesar suara, kawalan pemanduan, Mod ECON, Bantuan ECO, butang penghidup enjin, dan panel penyaman udara sentuhan auto.
Selain itu, teknologi lain yang turut diimplementasikan ialah akses pintar tanpa kunci, brek parkir elektrik, dan penahan brek auto.
HR-V turut menampilkan tempat duduk kombinasi kulit, dan tempat duduk belakang yang memiliki kepelbagaian konfigurasi bagi memberikan lebihan ruangan kargo. Dimensi tempat duduk ini boleh dilaraskan dengan tiga mod iaitu Mod Utiliti, Mod Ketinggian dan Mod Kepanjangan.
Bagi aspek keselamatan pula, selain ABS dan EBD, HR-V turut dilengkapi dengan Bantuan Brek (BA), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), kamera pandang belakang pelbagai sudut, Isofix dan juga enam beg udara.
Dan mulai hari ini, Honda Malaysia telah membuka tempahan buat HR-V di 77 wakil pengedarnya. Sempena dengan hari pelancarannya yang bakal tiba tidak lama lagi, Honda Malaysia juga telah mula menganjurkan siri jelajah mempromosikan HR-V ini di seluruh Malaysia di beberapa lokasi terpilih.