Honda HR-V versi Siam cetus keterujaan luar biasa – Bakal dilancarkan di Malaysia 5 Feb ini!
Tinggal 10 hari saja lagi industri automotif tempatan dijangka bakal digegarkan dengan fenomena luar biasa dengan kehadiran generasi pertama juga merangkap model pertama bagi Honda HR-V. Pada pertengahan November lalu, model SUV crossover ini telah pun dilancarkan di negara jiran kita iaitu Thailand. Malah Indonesia juga telah mengesahkan HR-V ini bakal memasuki pasaran sana kelak.
Nampak gayanya Malaysia mahu mengikut rapat jejak langkah negara Gajah Putih apabila Honda Malaysia telah mengesahkan jika tidak ada aral melintang, HR-V bakal dilancarkan pada 5 Feb ini. Malah sebelum pelancarannya juga, Honda Malaysia giat mempertontonkan HR-V ini di beberapa pusat membeli-belah dan tempahannya juga telah mula dibuka.
Bakal tiga varian iaitu model spesifikasi tertinggi Gred V, S dan E, HR-V ini dikuasakan oleh enjin 1.8L i-VTEC SOHC yang bergabung tenaga dengan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT) yang dibangunkan di bawah teknologi unggul ciptaan Honda Earth Dreams. Ia turut dipadankan dengan G-Design Shift CVT yang menghantar kuasa ke roda hadapan.
Malah 10 hari sebelum pelancarannya, Honda Malaysia telah menerbangkan sekumpulan media permotoran tempatan untuk melenjan HR-V versi Thai di Chiang Mai. Jadi ulasan pandu uji ini lebih terarah pada HR-V versi Siam dan mungkin selepas pelancaran di Malaysia, Honda Malaysia akan menganjurkan sesi pandu ujinya versi Malaysia pula.
Seperti Malaysia, HR-V untuk pasaran Thai juga menggunakan enjin dan transmisi yang sama. Namun disebabkan beberapa sifat tersendiri termasuk standard bahan api yang sedikit berbeza antara model Malaysia, enjin HR-V versi Thai ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 141 PS pada 6,500 rpm dan tork 172 Nm pada 4,300 rpm, lebih kurang sama dengan model Civic 1.8.
Sehingga artikel ini ditulis, pihak Honda Malaysia masih belum memberikan jawapan mengenai kuasa dan tork bagi versi Malaysia, namun difahamkan ia tidak akan jauh beza dengan versi Thai.
Honda Thailand turut menawarkan tiga gred HR-V iaitu S, E dan EL yang memiliki sedikit perbezaan luaran dan dalaman.
Pertama kali melihat di depan mata model HR-V ini sebaik sahaja sampai di hotel penginapan, rasa terpegun pula dengan kekacakan imej yang ditampilkan. Rasa teruja dan tidak sabar untuk melenjannya semakin membuak-buak. Petang itu juga, kami diberikan peluang seketika memandunya di sekitar bandar Chiang Mai, sekadar mengambil ‘feel’ sebelum melenjannya kaw-kaw keesokan harinya.
Untuk pemanduan urban, ternyata ia amat secocok dengan HR-V ini. Dengan kelajuan yang sederhana memandangkan keadaan trafik yang tidak menentu di bandar Chiang Mai, HR-V masih mampu memberikan respons seperti mana yang dikehendaki. Jika mahu meningkatkan kelajuannya selepas dipandu perlahan, tujahan kuasa yang dihasilkan agak pantas.
HR-V juga ditampilkan dengan mod Sport bagi menambahkan keseronokan pemanduan yang lebih agresif. Malah ia juga banyak membantu melancarkan perjalanan terutamanya jika kenderaan ingin dipacu dalam keadaan laju. Malah respons gear CVT dengan mod Sport juga cukup menyenangkan.
Berbanding dengan mod biasa, gear akan terus pergi lebih tinggi bagi penjimatan bahan api. Bila pendikit dilepaskan sedikit terutamanya ketika melalui selekoh dan kemudian inginkan kelajuan yang tinggi semula, respons CVT sedikit perlahan untuk penambahan nisbah gear.
Bagi pendapat penulis, enjin yang ditampilkan masih berkemampuan membawa kerangka HR-V tanpa kerahan tenaga yang berlebihan atau pun dipaksa-paksa. Bahkan, ketika mahu memotong kenderaan lain termasuklah lori dan treler yang kerap bergerak perlahan, tidak mendatangkan masalah buat HR-V ini asalkan anda masih mengamalkan pemanduan yang selamat.
Memandu di Chiang Mai dan seluruh Thailand secara amnya, perlu lebih peka dan berhati-hati. Ini kerana kebanyakan pemandunya akan keluar-masuk simpang atau menukar lorong secara tiba-tiba dan sering tidak menggunakan lampu isyarat. Beberapa kali jugalah penulis terpaksa membrek kecemasan kerana kereta di hadapan tiba-tiba berhenti untuk memasuki simpang.
Dalam situasi ini, jika HR-V dibrek secara mengejut, Emergency Stop Signal (ESS) akan automatik berfungsi bagi memberikan amaran pada kenderaan lain terutamanya yang berada di belakang bahawa berlakunya brek kecemasan ini. Apa pun jarak antara kenderaan di hadapan mahu belakang haruslah ada dalam keadaan yang bersesuaian agar perkara buruk dapat dielakkan.
Ternyata Honda amat mementingkan aspek keselamatan dan bagi HR-V, selain ESS, ABS dan EBD, ia juga dilengkapi dengan Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA), selain memiliki enam beg udara untuk model spesifikasi tertinggi dan dua untuk varian pertengahan serta rendah serta Isofix.
Bukan itu sahaja, untuk HR-V ini juga turut disertakan dengan teknologi yang lebih terkini termasuk dengan adanya Brek Parkir Elektrik (bukannya brek tangan biasa atau pun brek kaki) dan Auto Brake Hold.
Selain prestasi yang lebih diyakini, HR-V juga seronok dikendalikan kerana ia memahami kebanyakan situasi jalan. Ketika melayan selekoh-selekoh dan kawasan berbukit di Chiang Mai ini, ternyata kestabilan dan kemantapan SUV ini dirasai. Melayan selekoh dalam kelajuan tidak melebihi 120 km/j, jentera ini masih terasa stabil.
Malahan roda sterengnya juga mampu memberikan ketepatan yang dikehendaki oleh pemandu. Ia mampu memberikan kerjasama yang cukup baik termasuk dengan pedal pendikit dan juga brek. Namun jika dipandu laju ketika melenjan selekoh atau jalan berliku, harus lebih berhati-hati, sesekali terasa sedikit under steer namun ia masih mampu diatasi dengan adanya sistem suspensi yang mantap.
Namun suspensinya yang sedikit keras dan ditambah pula dengan padanan tayar bersaiz 17 inci, terasa agak bumpy jika duduk di bahagian penumpang belakang. Namun ia masih tidak meninggalkan keselesaan sepanjang berada dalam kabinnya. Olengan badannya juga sedikit dirasai, menambahkan lagi rasa bumpy tersebut terutamanya ketika jentera dipandu laju di selekoh.
Walau bagaimana pun, selepas memandu uji hampir 300 km secara bergilir-gilir dengan dua lagi rakan media termasuklah Jonathan Lee dari Paultan.org, ternyata HR-V ini memang sesuai untuk pemanduan urban dan juga sedikit agresif.
HR-V ini menggunakan platform yang sama dengan model di bawah segmen-B termasuk City dan Jazz, namun memiliki ukuran jarak roda yang lebih panjang iaitu 2,610 mm (iaitu 10 mm lebih panjang berbanding dengan sedan dan 80 mm dari model hatchback). Ia juga berukuran 4,294 mm panjang, 1,772 mm lebar dan setinggi 1,605 mm. Walau pun ia sebuah SUV crossover, ternyata masih senang untuk dikendalikan sewaktu membuat pusingan U, memarkirnya atau melalui jalan yang agak sempit.
Malah dengan ukuran jarak roda yang lebih panjang ini juga membuatkan ruang dalaman HR-V juga sedikit luas berbanding model Jazz. Ruang kaki dan ruang kepala di bahagian tempat duduk penumpang belakang juga boleh dikatakan cukup optimum.
Malah sama seperti Jazz, HR-V turut menawarkan tempat duduk Ultra Seats yang membolehkan tempat duduk belakang dilipat dengan lebih mudah serta memiliki beberapa konfigurasi susunan bagi memberikan lebihan ruang pada bahagian kargo. Walau bagaimana pun, Ultra Seats ini tidak boleh dilipat secara rata di bahagian lantai kenderaan, tidak seperti Jazz. Apa pun yang masih menawarkan ruang kargo yang lebih luas.
Bagi varian Gred S, ia turut menawarkan kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, brek parkir elektrik, butang mod ECON, lampu belakang LED, unit kepala dengan skrin sesentuh bersaiz lima-inci, butang kawalan sesentuh-sensitif secara automatik bagi penyaman udara dan tempat duduk separa-kulit.
Gred E dan EL pula ada pertambahan elemen termasuklah lampu utama LED bersama lampu pencahayaan siang, pedal penukar gear, kawalan kelajuan, unit kepala dengan skrin sesentuh bersaiz tujuh-inci dan Advance Touch, SIRI dan integrasi telefon bimbit pintar, dua USB port dan HDMI port serta enam pembesar suara (hanya empat untuk Gred S) dan tempat duduk balutan kulit.
Selain itu Gred EL turut memiliki elemen tambahan termasuklah bumbung panoramik, lampu belakang LED “tube style”, kekemasan dalaman piano black, cermin pandang belakang dengan auto malap (bagi mengelakkan cahaya silau dari kenderaan belakang) dan enam beg udara.
Bagi Gred S dan E, cermin tingkap bagi pintu penumpang hadapan dan belakang berkuasa elektrik tetapi tiada fungsi auto. Malah kekemasan matte black pula menghiasi konsol tengah (Gred EL dengan kekemasan hitam berkilat).
Selain ruang dalaman yang luas, penulis memuji kekemasan sentuhan lembut pada bahagian papan pemuka dan panel pintu HR-V ini. Ia juga tampak lebih elegan dan punya gaya yang tersendiri. Malah USB port, HDMI dan soket pengecas diletakkan di bahagian konsol bawah sistem multimedia. Ada ruang sedikit tersorok di situ dan ini membolehkan anda meletakkan telefon bimbit di situ dengan lebih selamat.
Apa pun, penulis kurang menggemari kedudukan corong penghawa dingin yang terletak memanjang di papan pemuka bertentangan dengan tempat duduk penumpang hadapan. Bukan setakat ia kurang memberikan ‘tempias penghawa dingin’ pada penumpang di bahagian belakang, bahkan kadang kala rasa sedikit terganggu dengan ‘angin’ walau pun telah melaraskan kedudukan penghadangnya.
Jika arasnya dilaraskan ke kanan, pastinya anginnya akan menghala ke pemandu. Ke kiri, bawah atau atas pula, memang tidak kena pada sesiapa. Jadi kesianlah pada penumpang belakang hanya mungkin hanya menerima tempias minimum sahaja. Lainlah kalau ada corong penghawa dingin di belakang, pasti ia tidak menimbulkan masalah ini.
Honda Thailand turut menawarkan pakej tambahan Modulo, termasuklah kit badan, gril yang sedikit berlainan, rim aloi bersaiz 18 inci dengan dua ton. Selain itu, ia juga didatangkan dengan perumah cermin sisi yang lebih bergaya, front fender garnish, boot sill protector dan pelindung cermin.
HR-V ini dijual pada harga bermula 890,000 baht (RM90,922) untuk S, 975,000 baht (RM99,609) bagi gred E dan gred EL pula berharga 1.045 juta baht (RM106,761). Manakala warna kerangka yang ditawarkan ialah Alabaster Silver, Crystal Black Pearl, White Orchid Pearl, Ruse Black Metallic dan Morpho Blue Pearl.
Difahamkan untuk HR-V versi Malaysia yang dipasang di kilang milik Honda yang terletak di Melaka, Gred V iaitu spesifikasi tertinggi tidak dilengkapi dengan bumbung panoramik dan pedal penukar gear seperti mana versi Siam. Ia juga menerima padanan tayar bersaiz 16-inci, berbanding 17-inci yang ditawarkan di Thailand.
Malah berat bagi Gred S ialah 1,239 kg, 1,245 kg bagi E dan V pula 1,249 kg.
Bagi suspensi hadapan, ia dipadankan dengan topang MacPherson dan Torsion beam untuk bahagian belakang. Manakala sistem breknya pula menggunakan Ventilated Disc untuk hadapan dan Solid Disc di belakang.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai HR-V versi Malaysia, kenalah tunggu pelancarannya pada minggu hadapan. Apa pun, ia pasti mirip dengan model versi Thailand, maka sekali gus memberikan pilihan yang cukup bijak jika anda inginkan sebuah SUV crossover.
Dan ramalan Infokereta.com, ia mungkin dijual pada harga antara RM98k hingga RM120k, namun Honda Malaysia masih mengunci mulut mengenai harganya yang akan didedahkan pada hari pelancarannya. Ramalan kedua kami, HR-V bakal mencetuskan fenomena tersendiri seperti mana yang pernah dilakarkan oleh model Jazz sewaktu ia baru tiba di pasaran Malaysia.
Adakah benar HR-V bakal popular sehangat ‘goreng pisang cheese campur coklat campur aiskrim’ yang sedang hangat di pasaran sekarang? Nantikan saja kemunculannya.
Honda HR-V versi Thailand
Honda HR-V Gred V versi Malaysia