Mazda CX-3 sah bakal menjengah pasaran Malaysia Julai ini
Sebelum ini Infokereta.com pernah menyiarkan laporan kajian yang dikeluarkan oleh CIMB, yang mengatakan bahawa Mazda CX-3 dijangka bakal dilancarkan di Malaysia pada bulan Julai ini. Pesaing pada model Honda HR-V, Ford EcoSport dan Peugeot 2008 ini dikatakan lebih awal dilancarkan di Malaysia berbanding dengan kajian yang pernah dikeluarkan oleh RHB.
Hari ini sumber dari Bermaz iaitu pengedar utara Mazda di Malaysia, telah mengesahkan perkhabaran ini dan hanya satu varian sahaja yang dibawa masuk dari Jepun (model CBU).
Walau pun masih belum mengesahkan harganya, laporan kajian CIMB itu turut menyebut kemungkinan besar harga Mazda CX-3 ini adalah di bawah RM130k. Malah kajian tersebut turut menyebut Malaysia merupakan satu-satunya negara ASEAN yang diberi hak untuk mengedarkan model CX-3 buat setakat ini.
Namun sumber Bermaz tersebut enggan mendedahkan kesahihan mengenainya termasuk spesifikasi mekanikal model yang bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Namun memberitahu, model CBU ini bakal dilengkapi dengan enam beg udara dan head-up display, sebagai elemen standard.
Telah dipertontonkan secara perdana di Los Angeles Auto Show 2014, CX-3 ini dijangka dilancarkan terlebih dahulu di Jepun pada Mac ini. Setakat ini, Mazda mengesahkan, ia bakal ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.5 liter SkyActiv-D diesel dan 2.0 liter SkyActiv-G petrol. Ia dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau auto SkyActiv-Drive dan versi pacuan semua-roda juga ditawarkan.
3 Comments