Galeri : Mitsubishi Triton VGT sudah ada di bilik pameran
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) sedang menghitung hari untuk melancarkan varian Triton 2015 yang dijangka pada awal Mei ini. Namun mulai beberapa minggu yang lalu, pra-tempahan bagi model pikap ini telah pun dibuka, malah kelibatnya telah pun dipertontonkan di beberapa lokasi dalam siri jelajah khas.
Semalam, model ini juga telah mula berada di bilik pameran. ‘Abang besar’ Infokereta.com iaitu Paultan.org telah merakamkan foto varian tertinggi Triton iaitu VGT Adventure (merah) dan VGT MT (perak) di salah satu bilik pameran Mitsubishi.
Diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, penjana kuasa Mitsubishi ini telah dipertingkatkan untuk generasi baharu termasuklah pilihan 2.5 liter VGT empat-silinder turbodiesel yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 178 PS pada 4,000 rpm. Manakala tork puncak dipertingkatkan daripada 350 Nm ke 400 Nm pada 2,000 hingga 3,500 rpm.
VGT atau ‘Variable Geometry Turbo’ yang diperkenalkan pada generasi sebelumnya, telah pun dipertingkatkan bagi menyalurkan kuasa yang tiada tandingan bersama pengecas turbo terkini. Di mana ia boleh memberi kuasa turbo dalam apa jua kelajuan. Malahan ia turut membantu meningkatkan lagi kuasa pendikit dan dalam masa yang sama memberi penggunaan bahan api yang efisien.
VGT Adventure ditawarkan hanya satu varian iaitu automatik lima-kelajuan. Ia ditampilkan dengan lampu utama projektor HID dengan lampu nyalaan siang LED, rim aloi 17-inci, pedal penukar gear, tempat duduk balutan kulit, dua-zon penghawa dingin automatik dan skrin sesentuh bersaiz 6.1 inci dengan kamera undur.
Bagi VGT MT yang tampil dengan transmisi manual lima-kelajuan, ia ditampilkan dengan zon tunggal penghawa dinggi automatik, Easy Select 4WD rotary selector (2H, 4H, 4L) yang sama dengan varian VGT Adventure dan VGT AT.
Antara elemen luaran yang ditampilkan ialah lampu utama reflektor tanpa lampu nyalaan siang dan rim aloi bersaiz-16 inci.
Selain dua varian tersebut, Triton turut menawarkan varian VGT AT, 4×4 MT dab Quest 4×2 MT.
Untuk pasaran Semenanjung Malaysia, ia menawarkan harga jangkaan (termasuk insurans dan GST) seperti berikut :
Triton VGT Adventure – RM 114,000
Triton VGT Automatic – RM 103,000
Triton VGT Manual – RM 97,000
Triton Manual – RM 87,000
Triton Quest – RM 71,000
Mitsubishi Triton VGT Adventure 2015
Mitsubishi Triton VGT MT 2015