Mitsubishi Triton 2015 lebih mantap & berkuasa – Tampil 5 varian dengan harga RM68k-RM108k
Pagi ini, Mitsubishi Motor Malaysia (MMM) telah pun melancarkan generasi kelima Triton dengan pelbagai rekaan baharu dan elemen yang dipertingkatkan. Triton 2015 ini telah menetapkan standard terkini dan memiliki pelbagai elemen bertaraf kelas pertama sebagai memenuhi keperluan pada pelanggan.
Turut hadir dalam majlis pelancaran ini ialah Presiden dan COO Mitsubishi Motors Corporation (MMC) Tetsuro Aikawa, Timbalan Presiden Eksekutif dan CEO kumpulan Machinery Group dari Mitsubishi Corporation (MC) Japan, Kozo Shiraji, Pengerusi MMM, Tan Sri Marzuki Mohd Noor dan Won-Chul Yang, CEO MMM.
Dibangunkan berdasarkan konsep “Trak Utiliti Pintar”, Triton 2015 ini ditawarkan dengan lima varian iaitu VGT Adventure, VGT AT, VGT MT, MT dan Quest.
MMM mensasarkan untuk menjual 900 unit sebulan bagi Triton 2015 ini iaitu 20% perkongsian pasaran bagi segmen trak pikap di Malaysia.
Model Import Sepenuhnya (CBU) dari hab produksi serantau Mitsubishi Motors Company (MMC) di Thailand ini dipadankan dengan penjana kuasa Mitsubishi yang telah dipertingkatkan termasuklah pilihan 2.5 liter VGT empat-silinder turbodiesel. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 178 PS pada 4,000 rpm. Manakala tork puncak dipertingkatkan daripada 350 Nm ke 400 Nm pada 2,000 hingga 3,500 rpm.
VGT atau ‘Variable Geometry Turbo’ yang diperkenalkan pada generasi sebelumnya, telah pun dipertingkatkan bagi menyalurkan kuasa yang tiada tandingan bersama pengecas turbo terkini. Di mana ia boleh memberi kuasa turbo dalam apa jua kelajuan. Malahan ia turut membantu meningkatkan lagi kuasa pendikit dan dalam masa yang sama memberi penggunaan bahan api yang efisien.
Bagi varian VGT Adventure dan VGT AT, ia dipadankan dengan kotak gear automatik lima-kelajuan dengan mod Sport.
Namun bagi varian Triton MT dan Triton Quest, ia dipadankan dengan enjin 2.5L DOHC 16V DI-D Common Rail Turbocharged Intercooler dengan kuasa serta tork maksimum 136 PS & 324 Nm (Triton MT 4×4) dan 110 PS & 200 Nm (Quest 4×2). Kedua-duanya turut menampilkan kotak gear manual lima-kelajuan.
Varian VGT Adventure, VGT AT dan VGT MT turut menampilkan Easy Select 4WD rotary selector (2H, 4H, 4L) yang sangat diperlukan bagi pemanduan off-road. Tapi bagi sistem 4WD ini, kesemua varian turut memilikinya kecuali Quest.
Selain itu, bagi aspek keselamatannya, kesemua varian dilengkapi dengan ABS, EBD dan dua beg udara.
Berkenaan dengan penampilan luaran, bagi varian VGT Adventure, ia dipadankan lampu utama Xenon HID dengan pelarasan manual,lampu nyalaan siang dan rim aloi bersaiz 17-inci.
Manakala bagi lain-lain varian pula, ia menampilkan lampu utama reflektor halogen dan rim aloi bersaiz 16-inci (hanya 15-inci untuk Quest).
Varian VGT Adventure dan VGT AT turut menampilkan gril radiator krom, operasi kemasukan tanpa kunci, lampu kabus belakang, bampar pemijak belakang dan perumah cermin sisi krom yang boleh dilaras.
Triton 2015 ini memiliki ukuran 5280 mm panjang (kurang 15mm berbanding model terdahulu), 1815 mm lebar (lebih 15mm) dan 1780 mm tinggi. Ground clearance dicatatkan pada 205mm untuk semua varian 4×4.
Bukan itu sahaja, dimensi dalaman pula telah dipertingkatkan iaitu lebih 20mm untuk ruang kaki dan lebih 10mm bagi ruang bahu.
Menjengah bahagian kabinnya, varian VGT Adventure dan VGT AT turut dilengkapi dengan butang penghidup enjin, sistem audio enam-pembesar suara dengan skrin sesentuh bersama fungsi pemain CD, MP3, sambungan USB (tambahan untuk VGT Adventure memiliki pedal penukar gear, Arahan Suara dan kamera undur). Manakala varian lain pula hanya sistem audio dengan fungsi 1-DIN CD, MP3, AUX, USB dan empat-pembesar suara.
Bagi tempat duduk pula, VGT Adventure dibaluti material kulit dan hanya fabrik bagi varian lain.
Triton 2015 ini didatangkan dengan pilihan warna termasuk Pearl White dan Shadow Black untuk semua varian (kecuali MT & Quest yang tiada warna hitam), Sterling Silver (untuk VGT AT, VGT MT, MT & Quest sahaja) dan dua warna tambahan untuk VGT Adventure iaitu Earth Green serta Red Solid.
Mitsubishi Triton 2015 ini ditawarkan pada harga atas jalan (tanpa insurans, termasuk GST) RM108,274 bagi varian VGT Adventure, Triton VGT AT (RM98,550), Triton VGT MT (RM92,115), Triton MT (RM83,163) dan Triton Quest (RM67,604).
MMM turut menawarkan waranti pengeluar selama tiga tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) bagi setiap pembelian model Triton 2015 ini. Selain itu, ia juga didatangkan dengan dua tahun penyelenggaraan percuma.
Bagi 2,000 pelanggan pertama yang menempah dan mendaftar model Triton 2015 ini, bakal menerima PETRONAS GIFT CARD percuma bernilai RM138 untuk Dynamic Diesel. Tertakhluk pada terma dan syarat.
Galeri Triton VGT Adventure
Galeri Triton VGT MT
Galeri Triton Quest