Proton tandatangani memorandum persefahaman dengan Suzuki – Model kompak bakal diperkenalkan tahun 2016
Petang ini, Proton telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Suzuki bagi penghasilan model kenderaan.
Menurut Tun Mahathir Mohamed, Pengerusi Proton Berhad, Proton akan bekerjasama dengan Suzuki bagi menghasilkan model baharu dengan rekaan dan teknologi tersendiri.
“Proton bermula dengan kerjasama bersama Mitsubishi. Kini, Proton memilih untuk bekerjasama dengan Suzuki pula bagi menghasilkan model kenderaan baharu. Diharap dengan kerjasama ini dapat memacu Proton untuk bergerak lebih agresif pada masa yang akan datang,” ujar Tun Mahathir dalam majlis MOU ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed, pula berkata, “Ia adalah sejajar dengan Dasar Automotif Nasional (NAP), dan kami ada menyarankan bahawa adalah lebih baik bagi Proton untuk mendapatkan rakan strategi antarabangsa. Jadi dengan kerjasama ini, saya berharap agar Suzuki selaku rakan kerjasama baharu ini dapat membantu Proton bagi meningkatkan lagi kedudukannya.”
Dalam sidang media yang baru berlangsung pula, Tun Mahathir berkata, penghasilan kenderaan ini akan memfokuskan kenderaan kompak terlebih dahulu dengan kapasiti enjin yang disasarkan iaitu 1.0 liter memandangkan Suzuki ada menghasilkan kenderaan kompak dengan enjin dengan kapasiti yang lebih rendah. Malah Suzuki tidak memasarkan kenderaan dengan enjin berkapasiti itu di Malaysia.
“Kemungkinan besar model pertama yang dihasilkan ini akan diproduksikan seawal-awalnya pada tahun 2016. Kemungkinan sama ada Proton akan memodifikasi model Suzuki yang sedia ada (tetapi yang tidak dipasarkan di Malaysia) atau pun menghasilkan model baharu, itu kena tunggu,” ujar Tun Mahathir lagi.
Malah model kenderaan hasil kerjasama Proton-Suzuki ini akan diproduksikan di kilang Proton yang terletak di Tanjung Malim.
1 Comment