Proton Inspira & Preve tetap jadi pilihan sebagai kereta peronda polis
Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menerima 1,200 buah Proton Inspira bagi dijadikan kereta peronda baharu secara berperingkat mulai hujung tahun ini. Selain itu, Proton Preve juga menjadi pilihan PDRM bagi tujuan yang sama.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, kenderaan itu adalah khusus bagi menggantikan kereta peronda yang berusia lapan tahun ke atas.
Malah kereta peronda baharu ini turut menerima imej yang lebih segar iaitu jalurannya sedikit berubah dan memilih warna hijau sebagai refleksi, secara tidak langsung menyokong amalan hijau.
“Ada sedikit pertambahan peralatan dan teknologi baharu di dalam kereta ini,” katanya ketika merasmikan 100 unit Proton Preve sebagai kereta peronda baharu ini di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata pihaknya berhasrat untuk meletakkan sistem C4i, iaitu sistem yang melibatkan urusan mengarah, mengawal, komunikasi, koordinasi dan informasi, selain Sistem Pengesanan Global (GPS) di dalam kereta peronda baharu ini.
“Setakat ini jumlah kereta yang menggunakan sistem C4i sedikit, kita cuma buat ujian di beberapa kereta,” katanya.
100 unit Proton Preve ini adalah bagi menggantikan Proton Waja 1.6 yang telah tamat tempoh pajakannya. Kereta Peronda berimej baharu ini bakal menggantikan kereta peronda sedia ada yang mana lebih 80 peratus daripadanya telah melebihi had penggunaan yang ekonomik.
Sumber foto : FB Polis Diraja Malaysia (PDRM)