GALERI : Honda BR-V bakal terjah pasaran Malaysia tahun hadapan
Selepas menyajikan sedikit cerita mengenai Honda BR-V yang dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2015 di Jakarta minggu lalu, nah! giliran galeri bagi SUV tujuh-tempat duduk ini pula khas untuk tatapan anda.
BR-V atau ‘Bold Run-about Vehicle’ dijanakan oleh enjin 1.5 liter i-VTEC dengan kuasa 120 hp dan tork 145 Nm iaitu penjana kuasa yang sama dengan City dan Jazz. Ia mungkin dipadankan dengan transmisi Earth Dream CVT atau kotak gear manual baharu enam-kelajuan.
Ia turut dilengkapi dengan elemen keselamatan termasuklah dua beg udara, ABS, EBD, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan Sistem Mula Mendaki serta Isofix.
Menerusi model konsep yang dipamerkan ini, ia turut menampilkan rel bumbung untuk semua variannya, lampu belakang LED dan juga rim aloi rekaan baharu bersaiz 16-inci. Walau bagaimana pun, dimensi luarannya tidak didedahkan lagi.
BR-V turut akan dipasarkan di Indonesia awal 2016 dengan harga jualan antara 230 hingga 265 juta rupiah (RM68k hingga RM78k). Ia akan diproduksi di kilang Honda yang terletak di Karawang mulai Januari ini.
Malaysia juga tidak ketinggalan akan memasarkan SUV ini, namun belum dipastikan bila jangkaan masanya. Kena tunggu maklumat selanjutnya dari Honda Malaysia.