Citroen DS3 penuh bergaya – dilancarkan pada harga RM117,888 (otr)
Lintas langsung dari Bangsar Shopping Centre!
Malam ini menyaksikan pelancaran model Citroen DS3 yang pernah membuat penampilan pertama untuk Malaysia sewaktu berlangsungnya KLIMS’13 yang lalu. Citroen DS3 merupakan model ketiga yang dilancarkan oleh Naza Euro Motors selepas DS4 dan DS5 berada di pasaran tempatan sejak Februari yang lalu.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Naza Euro Motors Sdn Bhd, Dato’ Samson Anand George, kemasukan DS3 ke pasaran Malaysia telah melengkapkan barisan Citroen DS yang hadir dengan penuh gaya, inovatif dan teknologi terkini. Malah DS3 ini juga dilihat sebagai kereta premium di bawah segmen-B yang menepati cita rasa masa kini.
Dijanakan oleh enjin 1.6 liter VTi 120 empat silinder, ‘jantung’ DS3 ini mampu memberikan kuasa maksimum sehingga 120 hp dan tork 160 Nm. Dengan kotak gear automatik empat kelajuan, ia juga mampu dipacu daripada titik sifar sehingga 100km/j dalam hanya 10.9 saat. Manakala kelajuan maksimumnya mampu mencecah 190km/j.
Mempertaruhkan imej yang lebih segar, ternyata DS3 hadir dengan stail yang penuh bergaya dan mempunyai elemen-elemen yang diyakini. Bentuk kerangka yang sungguh menonjol dengan B-pillar dan lampu hadapan yang dilengkapi dengan lampu pencahayaan siang (DRL) LED antara elemen utama bagi rekaan luaran yang dipertaruhkan. Ditambah pula dengan padanan rim aloi ‘Bellone Black Diamond’ bersaiz 17 inci pasti menyerlahkan lagi imej DS3 ini.
Citroen DS3 ini juga menjanjikan pengalaman pemanduan yang menguja dengan termasuk dengan jejari pusingan sehingga 10m yang memudahkan pemandu mengendalikannya terutamanya jika melibatkan pemanduan di kawasan bandar yang sering kali mengalami kesesakan lalu lintas dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, DS3 juga tampil dengan cruise control atau pengehad kelajuan dan indikator penukar gear yang memaklumkan bila gera harus ditukar bagi memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien.
Berkenaan dengan sistem suspensi, ia dipadankan dengan MacPherson Struts di bahagian hadapan untuk menambahkan kualiti pengendalian. Manakala topang Traverse yang lebih fleksibel pula di bahagian belakang bagi memberikan kestabilan yang lebih optimum dalam pemanduan.
Untuk bahagian kabin, DS3 juga dilengkapi dengan sistem audio HiFi, tiga pembesar suara yang terletak di bahagian tengah papan pemuka dan amflified subwoofer di bahagian bonet, pemain CD, kit bebas tangan Bluetooth, zon penghawa dingin automatik digital dan tempat duduk balutan kulit Mistral Claudia.
Manakala pada bahagian kokpit, rekaannya diinspirasikan secara penuh elegan dengan sentuhan sedikit sporty bagi memberikan keselesaan buat pemandu bagi mengendalikan fungsi-fungsi tertentu di dalamnya. Termasuklah menampilkan meter berbentuk kon pada kluster instrumen.
Memiliki saiz 3.95m panjang, 1.71m lebar dan 1.46m tinggi, DS3 turut menawarkan ruang dalaman yang penuh keselesaan. Malah ruang kargonya pula mampu memuatkan storan sehingga 385 liter dan tempat duduk belakang (60 :40) boleh dibaringkan bagi memberikan lebih ruangan.
Berkenaan dengan aspek keselamatan, DS3 turut dilengkapi dengan ABS, EBD, Bantuan Brek Elektronik (EBA), Program Kestabilan Elektronik (ESP), enam beg udara, penyambungan ISOFIX dan tiga poin tali pinggang keselamatan untuk penumpang di belakang sebagai ciri standard.
Malah jentera ini turut menerima pengiktirafan lima bintang daripada Euro NCAP di dalam ujian pelanggaran.
DS3 hadir dengan tujuh pilihan warna kerangka kombinasi dua tona yang menarik iaitu Red Rouge Rubi dan warna hitam di bahagian atas, Red Rouge Rubi (putih di bahagian atas), White Blanc Banquise (hitam di bahagian atas), White Blanc Banquise (biru di bahagian atas), Black Noir Perla Nera (putih di bahagian atas), Blue Belle (putih di bahagian atas) dan Yellow Jaune Pegase (hitam di bahagian atas).
Harga atas jalan yang ditawarkan untuk Citroen DS3 ini ialah RM117,888. Naza Euro Motors mensasarkan bakal menjual DS3 sebanyak 600 unit pada tahun ini.
1 Comment