Persimpangan Bertingkat Seri Kembangan di Lebuhraya MEX dibuka secara rasmi 13 Dis ini
Persimpangan bertingkat Seri Kembangan di KM16.5 Lebuhraya MEX bakal dibuka kepada umum Ahad ini.
Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, syarikat konsesi Maju Expressway Sdn Bhd juga bersetuju untuk tidak mengenakan sebarang bayaran tol sepanjang tempoh percubaan selama sebulan, laporan Bernama.
“Kadar tol sebenar belum lagi diputuskan, ia akan ditentukan setelah tempoh percubaan itu selesai,” katanya.
Persimpangan bertingkat yang dibina sejak 2 Dis 2013 itu menelan belanja RM112 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh syarikat konsesi itu dengan kos pengambilan tanah berjumlah RM20 juta ditanggung oleh kerajaan.
Fadillah berkata persimpangan 1.8 km itu adalah sebagai alternatif bagi mengurangkan kesesakan trafik di Seri Kembangan khususnya di Taman Universiti Indah, Taman Puncak Jalil dan Taman Equine.
“Dengan adanya persimpangan ini, ia akan menjimatkan masa pengguna dari Seri Kembangan ke pusat bandar dengan hanya memakan masa 20 minit berbanding sejam sebelum ini.
“Ia juga akan menjadi akses kepada pengguna dari pusat bandar yang ingin ke Seri Kembangan, Serdang dan Puchong dengan melalui Lebuhraya MEX ini,” katanya.
Sumber foto : Facebook Kementerian Kerja Raya