Peugeot 3008 versi 2014 sudah muncul di Oto.my
RM155,888… itulah harga yang tertera di dalam laman web klasified ‘brotherhood’ Infokereta, Oto.my, yang telah mula memaparkan promosi mengenai Peugeot 3008 serba baharu.
Melalui laman web terbabit, tertera informasi yang mengatakan model facelift ini dijanakan oleh enjin baharu 1.6 liter twin-scroll turbo yang mampu menghasilkan kuasa 165 PS dan tork 240 Nm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan yang turut ditampilkan dengan pedal penukar gear.
Dengan imej yang lebih sporty, Peugeot 3008 ini juga tampil dengan lampu utama bi-xenon, lampu belakang rekaan baharu, pengesan parkir pada bahagian belakang dan hadapan, zon berkembar penghawa dingin, lapan cara pelarasan tempat duduk pemandu, kamera undur, cruise control dan banyak lagi.
Peugeot 3008 ini bakal dilancarkan pada 17 April akan datang di utara Semenanjung. Nantikan maklumat selanjutnya yang bakal dibawakan oleh InfoKereta pada hari pelancarannya kelak.