Volvo XC90 2015 tampil dengan ruang kabin yang penuh kemewahan
Volvo telah pun mendedahkan imej awal bagi model XC90 2015 yang menunjukkan rekaan ruangan kabinnya. Dimaklumkan, Volvo bakal membuat pendedahan penuh mengenai model ini yang dijadualkan pada Ogos akan datang.
Berkenaan dengan ruangan kabinnya, ternyata sentuhan kemewahan menjadi pilihan. Dengan pelbagai butang konfigurasi yang terdapat pada bahagian kokpitnya yang ditempatkan pada skrin paparan sesentuh menyerupai tablet, di mana ia lebih tersusun dan tidak bersepah seperti dahulu.
Model ini juga menawarkan pemegang gear yang diperbuat daripada gelas kristal buatan Orrefors Sweden. Sebagai tambahan, ia juga tampil dengan butang kawalan bagi volume dan penghidup enjin.
Melengkapkan lagi ciri-ciri kemewahannya, Volvo XC90 serba baharu ini juga dipadankan dengan tempat duduk balutan kulit lembut upholstery dengan kekemasan kayuan.
Manakala bahagian meter kluster instrument juga sepenuhnya digital. Sistem penghawa dingin empat zon juga ditampilkan dan Volvo turut menampilkan pengesan suara “state-of-the-art” dan sistem integrasi Apple’s CarPlay.
Keluasan dalaman model ini juga tidak perlu dipertikaikan. Malah penumpang yang memiliki ketinggian 1.7 meter juga pasti berasa selesa duduk di dalamnya. Dan menariknya setiap penumpang juga memiliki ruang storan yang tersendiri.
Volvo XC90 2015 ini dijangka bakal memulakan produksinya pada awal tahun hadapan di kilang pemasangan Torslanda yang terletak di Gothenburg, Sweden.