Nissan Navara generasi ke-12 dilancarkan di Bangkok
Menawarkan penggunaan bahan api yang lebih ekonomi, menambah kuasa pecutan dan memiliki kerangka yang lebih mantap. Itu adalah kunci utama yang dipertaruhkan oleh Nissan untuk model trak pikap, Navara terbaharu iaitu untuk generasi ke-12.
Telah dilancarkan di peringkat global semalam dengan memilih Bangkok, Thailand, sebagai lokasinya, Navara serba baharu ini didatangkan dengan dua varian iaitu 2WD dan 2WD. Malah model baharu ini tampil dengan bumbung yang lebih rendah, lantai yang lebih tinggi dan ruang muatan yang lebih luas.
Dengan memfokuskan “ekspresi sporty dan lebih beremosi”, Navara kali ini diproduksikan dengan memiliki blacked-out B-pillars dan high belt line, ditambah pula dengan ukiran pada sisi bahagian hadapan dan bahagian pintu yang tampil dengan permukaan sedikit mencembung.
Malah lampu pencahayaan siang LED berbentuk boomerang, dihiasi dengan kekemasan krom pada acuan garisannya serta pada indikator cermin sisi.
Kali ini, Nissan memberikan dua pilihan warna bagi kerangkanya iaitu Savannah Yellow dan Earth Bronze.
Tidak sekadar memberikan gaya yang lebih berketerampilan pada luaran, bahagian kabinnya juga tidak dilupakan. Papan pemuka direka semula dengan menampilkan panel bahagian tengah yang bersambung hingga ke bahagian pintu. Kekemasan umpama aluminium melatari bahagian konsol tengah.
Malah tempat duduk ‘Bebas-Graviti’ seperti yang diterjemahkan pada model Teana turut ditampilkan pada Navara ini. Bahagian tempat duduk belakang juga dilengkapi dengan corong penghawa dingin bagi memberikan keselesaan yang lebih jitu buat para penumpang.
Pada bahagian papan pemuka, ditampilkan skrin sesentuh TFT 3D yang turut berfungsi sebagai navigasi serta memaparkan petunjuk kompas, indikator penggunaan bahan api dan informasi audio.
Di bawah hudnya, Navara ini dikuasakan oleh enjin petrol 2.5 liter DOHC empat silinder atau turbodiesel 2.5 liter DOHC empat silinder.
Enjin diesel turut dilengkapi dengan pengecas turbo berkuasa elektrik dengan dua kuasa iaitu 161 hp pada 3,600 rpm dan 403 Nm oada 2,000 rpm dan 188 hp dan 450 Nm pada tahap rpm yang sama.
Kedua-dua enjin ini turut dipadankan dengan manual enam kelajuan atau automatik tujuh kelajuan bersama mod manual.
Berkenaan dengan bahan api, kedua-dua enjin Navara ini mencapai standard Euro 5 dan Nissan turut mendakwa jentera ini mampu memberikan penjimatan sebanyak 11 peratus berbanding model sedia ada.
Navara ini turut dibina dengan casis yang lebih berkualiti tinggi dan memiliki keteguhan suspensi yang diyakini.
Bagi aspek keselamatan, ia turut dilengkapi dengan Vehicle Dynamic Control (VDC), Active Brake Limited Slip (ABLS), Hill Start Assist (HSA) dan Hill Descent Control (HDC).
Nissan NP300 Navara ini bakal menjadi model pertama yang diproduksi di kilang baharu Nissan yang dibina dengan kos US$358 juta yang terletak di Samut Prakan. Ia dijangka mampu menghasilkan sebanyak 75,000 unit setahun.
Malah Nissan juga menjalinkan usaha sama dengan Mitsubishi Motors untuk memproduksikan trak pikap di Laem Chabang Industrial Estate di Chonburi, di mana ia akan terus memproduksi model sedia ada Navara sehingga jualan model untuk eksport habis.