Ford Fiesta 1.0L EcoBoost kini sudah ada di Sabah & Sarawak
Berita baik buat rakyat di Sabah dan Sarawak yang teringin memiliki jentera hatchback ini, kini Ford Fiesta 1.0L EcoBoost sudah mula berada di bilik pameran Ford sana bermula pada 13 Jun.
Ditawarkan pada harga RM99,588, ia didatangkan untuk varian lima pintu Sport+ dengan tiga warna pilihan iaitu Artic White, Panther Black dan True Red.
Dipadankan dengan enjin 1.0 liter tiga silinder EcoBoost, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 125 PS pada 6,000 rpm dan tork puncak 170Nm pada 4,500 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan PowerShift.
Malah ia juga mencatat penjimatan bahan api terbaik dalam kelasnya sekitar 5.3L/100 km dan emisi CO2 enjin petrol 121g/km.
Teknologi EcoBoost Ford menggabungkan teknologi pancitan terus bahan api, pengecas turbo dan pemasaan injap boleh ubah yang membolehkan enjin kecil ini menjana kuasa dan prestasi yang menyaingi sebuah enjin petrol tradisional bersesaran 1.6L serta penjimatan bahan api dan tahap emisi terbaik dalam kelasnya.
Malah enjin 1.0L EcoBoost ini merupakan yang paling kecil dalam keluarga enjin EcoBoost global Ford yang kian berkembang dan yang ketiga diperkenalkan oleh Ford di Malaysia. Ia juga telah dinobatkan sebagai enjin terbaik di peringkat antarabangsa 2013 (2013 International Engine of The Year) iaitu salah satu anugerah berprestij antarabangsa untuk tahun 2012 dan 2013.