Sistem e-Vehicle diperkenalkan untuk pantau status kenderaan Labuan
BERNAMA melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) cawangan Labuan baru sahaja memperkenalkan sistem e-Vehicle berkuat kuasa hari ini bagi mempertingkat pemantauan keluar masuk kenderaan pendaftaran Labuan.
Menurut Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Khazali Ahmad,pemantauan menerusi sistem aplikasi dalam talian itu akan mencepatkan proses kenal pasti status kenderaan Labuan yang layak dibawa masuk ke Sabah dan Sarawak. Malah ia juga boleh mengetahui status tempoh keberadaan kenderaan tersebut di Kawasan Utama Kastam (KUK).
Malah ujian perintis bagi Sistem e-Vehicle telah dijalankan oleh JKDM pada awal bulan ini dan melalui ujian tersebut terdapat 27 buah kenderaan dikenal pasti di Sabah dan Sarawak melanggar syarat butiran 13 perintah Duti Kastam \ (pengecualian) 2013 kerana membawa kenderaan ke KUK lebih 90 hari dalam setahun.
Untuk mengakses sistem e-Vehicle itu, pelanggan perlu mendaftarkan nombor pendaftaran kenderaan kepada JKDM bagi mendapatkan kata laluan dan sistem tersebut boleh diakses melalui komputer ataupun telefon pintar.
Di mana penduduk di Labuan khususnya, yang sentiasa keluar masuk ke Sabah dan Sarawak, tidak lagi perlu beratur di kaunter feri kenderaan untuk mengambil kad e-Vis seperti dahulu, tetapi hanya perlu memperbaharui jaminan bank atau bon am setiap tahun.
Dengan adanya sistem ini, mereka boleh menyemak baki kelayakan keluar masuk ke Sabah dan Sarawak melalui alat komunikasi seperti telefon pintar yang mempunyai akses internet.
Khazali berkata sistem e-Vehicle akan diperluaskan ke semua cawangan JKDM termasuk pulau bebas cukai Pulau Langkawi.
Bahkan sistem e-Vehicle ini juga dikatakan efisien dan mampu menjimatkan masa, ia terhasil daripada program Kumpulan Inovatif Kerja (KIK) oleh JKDM. Malah ia juga berjaya merangsang budaya inovasi dan kreatif sebagai persediaan jabatan untuk menyahut cabaran dan jangkaan pelanggan yang sentiasa meningkat dan berubah mengikut peredaran masa.