Peugeot 208 GTi bakal tampil dengan edisi istimewa sempena ulang tahun ke-30
Peugeot telah mengumumkan perancangan mereka untuk memperkenalkan model edisi istimewa bagi hot hatch 208 GTi di Goodwood Festival of Speed yang dijadualkan pada 27 hingga 29 Jun ini. Varian edisi istimewa ini diperkenalkan sempena dengan ulang tahun yang ke-30 model ini.
Sebelum memperkenalkannya secara rasmi, Peugeot telah mendedahkan imej pertamanya terlebih dahulu. Melalui imej tersebut, ia menayangkan paras rupa daripada bahagian gril hadapannya yang turut menampilkan bendera British. Peugeot akan mendedahkan lagi perincian mengenai model ini semasa hari memperkenalkannya minggu hadapan.
Malah Peugeot juga seakan memberikan gambaran awal mengenai mekanikal jentera ini yang kemungkinan dijanakan oleh enjin 1.6 liter berkuasa turbo seperti mana yang dipadankan pada model standard 208 GTi. Jika benar, model ini mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 200 PS dan tork 275 Nm. Malah ia juga boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 225 km/j. Dan mencatatkan kelajuan daripada titik sifar sehingga 100km/j dalam hanya tempoh 6.8 saat.