Isuzu D-Max V-Cross 3.0L lebih mantap & bertenaga
Seminggu yang lalu Info Kereta berpeluang memandu uji model trak pikap Isuzu D-Max V-Cross dari Ara Damansara menuju ke Pulau Pinang.
Untuk pengetahuan anda, D-Max V-Cross merupakan varian baharu bagi D-Max generasi kedua dan yang menarik tentangnya ialah ia telah dikuasakan oleh enjin generasi baharu yang pastinya lebih mantap dan bertenaga.
Ia turut dilengkapi dengan sistem turbo geometri boleh ubah (VGS) yang bergabung dengan enjin berkapasiti 3.0 liter bagi menghamburkan kuasa dan tork yang lebih unggul.
Tampil dengan tiga varian iaitu D-Max V-Cross 3.0 manual, D-Max V-Cross 3.0 automatik dan varian tertinggi iaitu V-Cross Safari. Menurut Isuzu, D-Max V Cross merupakan model yang paling berkuasa dipasarkan oleh mereka untuk pasaran tempatan.
Malah varian V-Cross juga dikatakan sebagai model premium rugged bagi barisan D-Max. Biar pun masih berkongsi platform dengan varian 2. 5 liter, namun V-Cross 3.0 lebih terserlah dengan imej premiumnya.
Nampak gayanya, penulis harus bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Isuzu ini. Pertama kali menyaksikan penampilan model ini di depan mata, rasa tertarik sudah menambat perhatian.
Ia hadir dengan imej yang lebih gagah walau pun tidak begitu tampil banyak berbeza dengan model terdahulu. Namun kemantapannya lebih terserlah mengikut pandangan mata.
Apabila mengetahui terdapat sedikit perubahan daripada sudut mekanikal, membuatkan hati ini meronta-ronta tidak sabar untuk memandu ujinya. Apakah yang hebat sangat seperti yang diperkatakan?
Berbanding dengan model generasi kedua yang diperkenalkan pada Mei 2013 yang dipacukan oleh enjin 2.5 liter, untuk varian ini D-Max melangkah setapak lebih hebat apabila digandingkan dengan enjin lebih berkuasa iaitu 3.0 liter.
Percaturan yang dilakukan oleh Isuzu nampak gayanya tepat kerana mempertaruhkan enjin yang lebih besar. Malahan ia sangat bersesuaian dengan keupayaan dan kredibiliti yang dipamerkan oleh jentera ini.
Varian V-Cross 3.0L ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 177 PS pada 3,600 rpm dan puncak tork 380 Nm pada 1,800 hingga 2,800 rpm.
Penulis memandu uji varian V-Cross 3.0L manual. Apabila enjin 3.0 liter bergabung dengan kotak transmisi manual lima kelajuan, terasa ledakan kuasa yang dimuntahkan oleh jentera ini cukup dirasai sehingga ke jantung!
Apatah lagi kuasanya telah dibantu oleh sistem turbo geometri boleh ubah (VGS), sedikit sahaja injakan pada pedal pendikit, jentera mampu meluncur selancarnya dengan kelajuan yang diingini.
Penggunaan teknologi VGS juga membolehkan lengkuk kuasa diagihkan dengan lebih sekata. Maka pemanduan lebih responsif dengan kuasa yang begitu menyerlah. Dalam masa yang sama, ia turut menawarkan penjimatan bahan api yang lebih efisien dan tahan lasak.
Bukan itu sahaja, gabungan sistem brek dan roda sterengnya cukup responsif memberikan kerjasama yang terbaik.
Kelancaran pemanduan cukup terasa biar pun adakalanya terpaksa ‘bermain-main’ dengan gear manual, oh itu yang lebih menyeronokkan. Walau pun jentera sedang dipacu laju, jika gear ditukar pun, kelancarannya masih tidak tergugat. Untuk memandu sehingga meter kelajuan mencecah 190km/j pun cukup mudah.
Bukan setakat kecemerlangan prestasi, malah pengendaliannya juga wajar dipuji. Dengan sistem suspensi yang digandingkan iaitu Indepedent Double Wishbone bersama gegelung spring dan penstabil pada bahagian hadapan serta untuk belakang pula menggunakan Semi-Elliptical Leaf Spring, menjadikan pengendalian V-Cross 3.0L lebih mantap.
Kestabilannya juga masih terserlah biar pun melalui jalan yang lurus mahu pun berbelok-belok. Kehadiran rekaan falsafah yang begitu inovatif seperti i-GRIP (Isuzu Gravity Responsive Intelligent Platform), membuatkan V-Cross 3.0L ini mampu memperkukuhkan lagi kemantapan dan kestabilan jentera tanpa kompromi. Malah jarak rodanya yang lebih panjang menambahkan lagi kestabilannya.
Olengan badannya juga kurang dirasai dan keselesaan sepanjang perjalanan masih optimum. Malah ketika melalui permukaan jalan yang kurang rata atau beralun, kesan bumpy juga agak minima. Memberikan keselesaan yang ketara.
Kelebihan enjinnya yang berkapasiti besar, V-Cross 3.0L ini tidak ada masalah untuk melalui jalan berbukit dan memotong kenderaan lain. Momentumnya tidak tergugat dan tiasa istilah kenderaan terasa berat ketika mlalui jalan berbukit.
Malah untuk memotong kenderaan lain pun tidak mengundang sebarang masalah kerana jentera ini tampil dengan kuasa pecutan yang cukup cemerlang. Tidak perlu gigih memijak pedal pendikit sehingga ke lantai kerana enjinnya cukup pantas memberikan tindak balas yang diingini.
Walau pun bersaiz besar dengan ukuran kerangka 1860mm bagi lebar, 5295 mm (panjang), dan ketinggian 1795mm, tidak begitu sukar untuk mengendalikannya. Untuk membuat pusingan U, dengan jejari pusingan sehingga 6.3m, ia tidak menimbulkan kesulitan.
Walau pun tidak berpeluang melenjan jentera ini di laluan off-road, namun penulis yakin V-Cross 3.0L ini pasti tidak mengecewakan. Apatah lagi ia hadir dengan sistem pacuan semua roda (4WD) yang mampu mengawal kesemua roda secara lebih sistematik dan responsif. Malah jentera ini juga dikatakan mampu dipandu pada corak jalan yang ekstrem termasuk pada kecuraman 49 darjah.
Berkenaan dengan aspek keselamatan, jentera ini telah mendapat pengiktirafan lima bintang daripada Australian New Car Assessment Program (NCAP). Ia ditampilkan dengan dua beg udara, ABS, EBD, Brake Assist (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).
Bagi rekaan luaran dan dalamannya, ia ada sedikit tampil berbeza dengan model sebelumnya. Terutamanya untuk varian tertinggi iaitu V-Cross Safari yang tampil lebih sporty dengan beberapa elemen tambahan seperti tempat duduk balutan kulit premium Itali, skrin paparan bersaiz 6.2 inci yang turut berfungsi sebagai sistem navigasi dan pemain multimedia, V-LID iaitu penutup bahagian kargo dengan aero-spoiler dan lampu dalaman LED serta rekaan ekslusif rim V-Cross Safari.
Selain itu, V-Cross Safari juga tampil dengan gril radiator, pemijak pada bahagian pintu dan pelindung bampar berwarna Matte Grey serta roof rail yang cukup sporty berwarna hitam.
Bagi varian V-Cross MT dan AT, keduanya sama dengan menampilkan ciri-ciri standard seperti lampu utama projektor, lampu kabus, rim aloi bersaiz 17 inci, hiasan krom pada pemukaan hud, gril hadapan krom, cermin sisi yang turut dilengkapi dengan lampu isyarat LED, pemijak tepi, bampar belakang dan lampu kombinasi belakang.
Menjenguk pada bahagian dalamnya, ia tampil standard bagi varian MT dan AT. Antara elemen yang ditampilkan ialah paparan Pelbagai-informasi e-LUMAX, roda stereng dengan butang kawalan audio dan alat bebas tangan, penghawa dingin kawalan automatik, sistem audio 2-DIN dan tempat duduk balutan Jacquad Flat Wooven dengan kekemasan Tricot.
Bagi varian V-Cross 3.0 manual dan auto, ia hadir dengan empat pilihan warna iaitu Cosmic Black Mica, Garnet Red Mica, Titanium Silver Metallic dan Splash White. Manakala V-Cross Safari hanya hadir dengan satu warna iaitu Venetian Orange Mica.
Dengan harga atas jalan berserta insurans RM101,343.90 (V-Cross 3.0 MT), RM107,459.90 (V-Cross 3.0 AT) dan RM118,485.90 bagi V-Cross 3.0 Safari, kesemua model ini telah mula dipamerkan di semua bilik pameran Isuzu pada 20 Jun lalu.
Spesifikasi :
Enjin : 3.0 liter 4-silinder VGS Turbo Intercooler Diesel DOHC 16-injap
Transmisi : Manual 5-kelajuan / Automatik 5-kelajuan dengan Sequential Shift
Kuasa maksimum : 177 PS @ 3,600 rpm
Tork maksimum : 380 Nm @ 1,800 – 2,800 rpm
Kapasiti tangki bahan api : 76 liter
Isuzu D-Max V-Cross Safari
Isuzu D-Max V-Cross MT/AT
2 Comments