Volkswagen Tiguan eksplorasi kehidupan menerusi pemanduan & pengendalian
Pertama kali SUV ini diperkenalkan buat pasaran Malaysia ialah pada Oktober 2008. Kemudian model facelift pula dilancarkan pada tahun 2011 tetapi masih mengekalkan kapasiti enjin yang sama iaitu 2.0 liter.
Terkini, model terbaharunya pula telah dilancarkan pada Mei yang lalu. Volkswagen Tiguan, sebuah SUV yang kelihatan agak ‘manja’ secara pandangan mata kasar, namun sebenarnya terselindung kegarangannya dalam pemanduan dan pengendalian. Mungkin sebab itulah namanya terhasil daripada kombinasi dua haiwan yang manja tetapi boleh menjadi agresif bila-bila masa iaitu tiger dan iguana.
Penghujung Jun yang lalu, Info Kereta berpeluang mengikuti sesi pandu uji Tiguan yang dianjurkan Volkswagen untuk media permotoran tempatan. Walau pun hanya sehari sahaja sesi ini berlangsung, namun corak pemanduan dengan pelbagai keadaan jalan mendatangkan kepuasan dalam menguji kehebatan Tiguan ini.
Menempuh perjalanan dari Publika Solaris menuju ke Tanah Aina, Bentong, Pahang melalui lebuh raya dan kemudian jalan kecil tidaklah sesukar mana mengendalikan SUV ini. Melalui jalan berbukit dan berliku berhampiran Genting Sempah tidak mendatangkan sebarang masalah buat Tiguan ini.
Ia masih mampu tampil cemerlang apatah lagi jika terpaksa memotong kenderaan di hadapan. Tidak perlu untuk menekan pedal pendikit sehabis mungkin. Kerahan tenaganya tidak perlu dipulas seratus-peratus kerana Tiguan ‘bijak’ untuk mempamerkan prestasi yang seakan tersembunyi di sebalik ‘kelembutannya’.
Walau pun hanya memiliki enjin berkapasiti 1.4 liter TSI empat-silinder suntikan terus bahan api, namun Tiguan masih gagah dipacu. Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 160 PS dan tork 240 Nm. Mencukupi bagi SUV bersaiz ini. Dan ia juga mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 198 km/j dan catatan pacuan daripada titik sifar sehingga 100km/j hanya 8.9 saat.
Padanan kotak gear DSG lengkap dengan direct shift enam kelajuan juga memberikan kerjasama yang baik. Setiap pertukaran gear automatik masih lancar.
Namun untuk pacuan yang lebih mantap, penulis lebih gemar menggunakan mod Sport. Biar pun tidak dilengkapi dengan pedal penukar gear, anjakan manual pada tuil gear sudah memadai. Terasa kuasa berganda apabila mengenakan mod Sport, selain puas bermain-main dengan anjakan gear manual, ia turut membantu melancarkan pemanduan tanpa rasa sentakan akibat pertukaran gear.
Hasil gabungan inovatif TSI dan teknologi DSG, Tiguan juga dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api sehingga 7.1 liter bagi setiap 100 km.
Dari Bentong, konvoi bergerak pula ke Bukit Fraser dengan melalui jalan yang lebih mencabar. Banyak selekoh yang dilalui menjadikan pemanduan bertambah menyeronokkan. Memang layan sungguhlah selekoh-selekoh yang ditempuh, apatah lagi dengan kestabilan dan kemantapan yang dapat dirasai dek jentera ini. Biar pun melalui jalan bercorak sebegini, namun olengan badan Tiguan masih agak minima.
Kawalan roda stereng juga seimbang iaitu tidak berat dan tidak juga terasa ringan. Ia menyumbang pemanduan yang lebih lancar apatah lagi ketika SUV ini dilenjan di jalan yang berselekoh. Pedal brek juga cukup responsif dan tidak terasa sentakan bila mana ia dipijak walau pun secara mendadak.
Walau bagaimana pun, tercetus sedikit kekurangan yang ada pada Tiguan ini, apabila enjin dikerah lebih sedikit terutamanya ketika mendaki jalan berbukit, ngauman enjin seakan menyerap ke dalam kabin. Tidak begitu membingitkan tetapi masih kedengaran agak jelas, sehingga menimbulkan sedikit rasa kurang senang.
Dengan saiz yang boleh dikatakan sederhana iaitu memiliki kepanjangan berukuran 4,426mm, kelebaran 1,809 mm dan setinggi 1,703 mm, menambah rasa mudah untuk mengendalikan SUV ini. Termasuklah melalui jalan yang agak sempit dan berselisih pula dengan kenderaan lain dari arah hadapan. Masalah takut ‘tak lepas’ dapat diatasi dengan mudah. Malah ia juga mampu mencecah 12.0m bagi jejari pusingannya, memudahkan untuk membuat pusingan U.
Selepas berehat seketika di Bukit Fraser, konvoi menuju ke Kuala Kubu Bahru (KKB) pula. Melalui jalan yang hanya dua lorong, agak sempit, banyak selekoh-selekoh tajam dan naik bukit turun bukit, pemanduan lebih berhati-hati ditagih. Tumpuan sepenuhnya diberikan bagi ‘melenjan’ corak jalan sebegini di samping bagi mengurangkan rasa mual kerana peratusan untuk jalan lurus menuju ke KKB sangatlah kecil. Selekoh demi selekoh ditempuh dan Tiguan masih gigih dipacu dengan cemerlang.
Kesimpulan yang boleh digambarkan menerusi pandu uji SUV pacuan dua roda ini ialah ia bukan sahaja sesuai untuk pemanduan urban atau dalam bandar sahaja. Bahkan, ia juga sesuai dilenjan dalam corak perjalanan yang mencabar walau pun tidak melibatkan off-road ataupun pemanduan secara ekstrem.
Bagi aspek keselamatan, Tiguan dilengkapi dengan sistem pengesan ‘Rest Assist’ yang mampu memberikan amaran jika pemandu memandu dalam keadaan mengantuk. Selain itu, Tiguan turut menampilkan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), enam beg udara, tiga-poin tali pinggang keselamatan dan sistem anti kecurian, selain ciri standard seperti ABS dan Bantuan Brek (BA).
Berkenaan dengan imej yang ditampilkan pada model facelift Tiguan ini, ia kelihatan lebih sporty berbanding model terdahulu. Malah ia turut menawarkan kelebihan yang praktikal dan versatil, bersesuaian dengan tagline yang diwar-warkan iaitu “Eksplorasi Kehidupan”.
Kehadiran gril radiator krom dengan lampu utama halogen pelarasan automatik dan lampu pencahayaan siang (DRL) LED (bagi pilihan Tech Pack), lampu kabus pada bahagian hadapan dan belakang, serta cermin sisi boleh laras secara elektronik menyerlahkan lagi gaya SUV ini.
Malah bagi menampakkan gaya yang lebih mantap, Tiguan turut dipadankan dengan rim aloi ‘Boston’ bersaiz 17 inci serta roof rail berwarna perak.
Menjenguk bahagian kabin, terserlah imej elegan dan sedikit kemewahan yang ditampilkan. Malah boleh dikatakan imej dalaman yang ditampilkan antara daya pemikat Tiguan ini.
Kekemasan pada papan pemuka dan konsol tengah begitu menyenangkan dan memudahkan pengendalian setiap butang kawalan. Malah sentuhan lembut pada permukaan papan pemuka dan bahagian pintu juga menyuntik sedikit elemen mewah. Kekemasan perak metalik menjadi dekorasi bagi panel pintu.
Dilengkapi tempat duduk ‘Milan’ Alcantara, Tiguan didatangkan dengan brek parkir elektrik dengan auto-hold, pemegang tombol gear balutan kulit, cermin pandang belakang anti silau, tempat duduk penumpang belakang yang boleh dilipat, sistem penghawa dingin ‘Climatic’ semi automatik, meja kecil yang boleh dilipat pada belakang tempat duduk hadapan, soket 12-volt pada bahagian konsol tengah, tombol gear dan roda stereng balutan kulit, sistem tempat duduk boleh laras dan lapan pembesar suara.
Malah ia turut dilengkapi dengan sistem penghidup enjin automatik yang mampu mengurangkan penggunaan bahan api dan pemancaran karbon dioksida.
Antara elemen menarik yang turut ditampilkan pada SUV 2WD ini ialah ia turut dilengkapi dengan sistem penghidup enjin automatik yang mampu mengurangkan penggunaan bahan api dan pemancaran karbon dioksida.
Untuk lebih premium, Tiguan juga tampil dengan elemen pilihan Teck Pack yang lebih inovasi termasuk kamera undur, sistem penghawa dingin ‘Climatronic’ dengan dua zon kawalan, skrin sesentuh berwarna RCD510 dengan sistem radio dan pemain MP3, sambungan untuk Bluetooth, kawalan kelajuan dan juga roda stereng balutan kulit.
Tiguan didatangkan dengan lima pilihan warna iaitu Pure White, Reflex Silver, Titanium Beige, Pepper Grey dan Toffee Brown. Berharga atas jalanRM178,888, boleh dikatakan ia berbaloi dengan kelebihan yang ditonjolkan oleh SUV 2WD ini. Dan jika inginkan tambahan elemen, pakej Tech Pack boleh dijadikan pilihan dan bernilai tambahan RM10,000.
Spesifikasi :
Enjin : 1.4L TSI 4-silinder suntikan terus bahan api
Kuasa maksimum : 160 PS @ 5,800 rpm
Tork maksimum : 240 Nm @ 1,500-4,500 rpm
Transmisi : DSG 6-kelajuan dengan kotak gear direct shift
Kapasiti tangki bahan api : 64 liter
Saiz tayar : 235/55 R17