Imej kabin Chevrolet Cruze 2015/2016 didedahkan
Dalam diam-diam Chevrolet telah mendedahkan foto imej kabin bagi model Chevrolet Cruze 2015/2016 baru-baru ini. Model yang telah dipertontonkan di Auto China 2014 lalu dikatakan telah diterapkan dengan gaya rekaan serba baharu yang diinspirasi berdasarkan model konsep Tru 140S.
Dengan imej yang lebih menyerlah berbanding model sedia ada, ruang kokpitnya telah direka semula serta dilengkapi dengan material yang lebih berkualiti tinggi dengan perician yang menarik.
Menerusi imej yang didedahkan ini, difahamkan ia bagi model untuk pasaran China dan merupakan varian tertinggi yang bakal dipertaruhkan. Memilih material kulit berwarna coklat untuk membaluti tempat duduk, kekemasan krom dan piano black menjadikan Cruze ini tampil elegan.
Malah roda stereng tiga jejari turut dibaluti kulit, ditambah pula dengan lampu biasan berwarna biru muda dan sistem infotainmen MyLink II bersama skrin paparan bersaiz lapan inci menambahkan lagi gaya dalaman model ini.
Bukan itu sahaja, konsol tengah pula tampil dengan bentuk rama-rama, malah turut menyalurkan penggunaan yang lebih intuitif dan mesra pengguna dengan imej yang lebih kemas serta tersusun rapi.
Seperti mana yang pernah dilaporkan sebelum ini, Cruze (bagi spesifikasi pasaran Chins) bakal ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.4 liter pengecas turbo dan 1.5 liter konversional. Juga bakal ditampilkan dengan tiga pilihan transmisi iaitu DCS baharu klac-berkembar tujuh kelajuan yang dibangunkan bersama SAIC, manual enam kelajuan (yang dibangunkan di Eropah) dan automated manual enam kelajuan.
Ia juga memiliki bentuk lebih tajam berbanding model sedia ada, dengan imej yang tampak lebih gagah pada bahagian hadapan. Elemen penuh bergaya yang melengkapi Cruze baharu ini termasuklah lampu pencahayaan siang, lampu kabus, dan jeriji yang sedikit agresif.
Walau bagaimana pun Chevrolet belum memberikan kesahihan bilakan model ini bakal dipasarkan.