Honda Malaysia panggil semula Stream 2001-2003, Jazz 2002-2003, City 2003 & Accord 2003 kerana masalah beg udara
Honda Malaysia telah mengadakan kempen memanggil empat model kenderaannya yang berpunca kerana masalah beg udara. Model-model kenderaannya yang terlibat ialah Honda Stream 2001-2003, Jazz 2002-2003, City 2003 dan Accord 2003.
Panggilan semula (recall) ini melibatkan 2,033,000 unit model Honda di seluruh dunia.
Isu ini turut berkaitan dengan program panggilan semula yang dilaksanakan pada tahun lalu dan didorong oleh kebimbangan pihak pengeluar ke atas pemasangan inflator beg udara yang dipasang di bahagian tempat duduk penumpang hadapan yang dibekalkan oleh pengeluar alat ganti dari Jepun sendiri, Takata Corp.
Di mana jika berlakunya kemalangan, inflator terbabit boleh pecah yang mengakibatkan beg udara tersebut tidak berfungsi dengan baik dan boleh menyebabkan risiko kebakaran.
Honda Malaysia menerusi kenyataan yang dikeluarkan, walau bagaimana pun mengakui buat setakat ini tiada sebarang kemalangan yang dilaporkan akibat perkara tersebut di negara ini. Malah unit kenderaan yang terlibat juga tidak dapat dikenal pasti secara sahih (di Malaysia), tetapi pihaknya akan menghubungi semua pemilik kenderaan terbabit secara individu.
Untuk rekod, Honda bukanlah satu-satunya pengeluar kenderaan yang pernah mengalami masalah inflator beg udara ini. Sebaliknya jenama lain seperti Toyota, BMW, Nissan dan Mazda juga pernah mengalami masalah yang sama di peringkat global.