Nasim lancar Peugeot Muar
Jika Mei lalu, Johor Bahru menjadi pilihan untuk Nasim Sdn Bhd membuka pusat 3S dan bilik pameran Peugeot bagi menembusi pasaran Selatan, kini giliran daerah Muar pula.
Peugeot Muar merupakan pusat 3S yang ketiga terbaharu dilancarkan oleh Nasim pada tahun ini dan menjadi cawangan kelima yang dibuka di Johor. Kini Peugeot telah memiliki 32 bilik pameran di seluruh negara.
Beroperasi di atas kawasan seluas 13,500 kaki persegi, Peugeot Muar ini diuruskan oleh Ang Lee Motor Trading Sdn Bhd. Pastinya ia bakal menjadi perhatian untuk pelanggan Peugeot yang tinggal di kawasan sekitarnya termasuklah Gerisek, Pagoh, Panchor, Parit Jawa, Sungai Mati, Tangkak, Bukit Gambir dan Bukit Pasir, selain Muar sendiri.
Peugeot Muar turut dilengkapi dengan lounge pelanggan, perkhidmatan WiFi percuma, lima ruang penyelenggaraan yang mampu menyelenggara 11 buah kenderaan Peugeot sehari serta pusat mengecat kenderaan.