Pusat 3S Mazda di Donggongon, Sabah dilancarkan
Baru-baru ini menyaksikan pusat 3S Mazda ketiga telah dibuka di bahagian Timur Malaysia, dengan memilih daerah Donggongon yang terletak di Kota Kinabalu, Sabah, sebagai lokasinya.
Dibina di atas keluasan 18,000 kaki persegi, pusat 3S ini menawarkan perkhidmatan jualan, penyelenggaraan dan alat ganti. Ia dioperasikan oleh Maxspeed Automart Sdn Bhd, iaitu pengedar terulung Mazda di bahagian Timur Malaysia. Pembukaan pusat 3S ini menjadikan bilangan Pusat 3S Mazda mencecah ke-46 cawangan di seluruh negara.
Pelancaran Pusat 3S Mazda Donggongon ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Ir Edward Young Oui Fah.
Menurut Pengarah Urusan Maxspeed Automart Sdn Bhd, Philip Lau, pembukaan pusat 3S ini bagi memenuhi permintaan para pelanggan Mazda yang menetap di kawasan sekitar ini. Malah pihaknya juga memberi jaminan untuk perkhidmatan dan fasiliti terbaik buat para pelanggan.
Antara model yang dipamerkan dan dijual di Pusat 3S Mazda ini ialah CX-5, Mazda3 dan Mazda6.