Ford EcoSport serba baharu akan tiba di Malaysia tidak lama lagi
Selepas melancarkan Ford Kuga pada Jun 2013, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) bakal melancarkan satu lagi model SUV tidak lama lagi iaitu Ford EcoSport. Ia dikatakan bakal menjadi SUV urban pertama di Malaysia yang sempurna untuk dipandu ke mana sahaja termasuklah di off-road.
SUV urban ini menggabungkan versatiliti dan ketersambungan yang memastikan pelanggan boleh menikmati pemanduan lancar di bandar.
Ford EcoSport serba baharu ini dilengkapi sistem stereng yang dibantu oleh kuasa elektrik (EPAS). Ia menawarkan kualiti stereng yang tepat, meyakinkan dan radius pusingan yang kecil. Ini menjadikannya mudah dikendalikan di jalan bandar yang sempit atau laluan bengkang-bengkok.
Radius pusingan 10.6 meter juga membolehkan pergerakan ketika melalui trafik di bandar menjadi lebih mudah. Terutama ketika hendak membuat pusingan U di jalan yang kereta diparkir di kedua-dua sisi jalan.
Satu lagi ciri pintar ialah sistem Ford SYNC yang menggunakan arahan suara untuk membolehkan pemiliknya menjawab panggilan telefon dan memilih muzik daripada peranti-peranti yang disambung melalui Bluetooth atau USB.
Selain itu, SUV ini juga didatangkan dengan pelbagai sistem bantuan pemandu, ini termasuklah alat pengesan parkir bagi memastikan pemandu mengelak daripada melanggar halangan yang mereka tidak nampak.
Hill Launch Assist pula memastikan pemandu dapat memandu dengan lancar di laluan berbukit, sama ada menaiki atau menuruni cerun dengan ‘menahan’ jentera selama 2.5 saat apabila mereka mengalihkan kaki daripada pedal brek untuk menekan pedal minyak. Ciri ini menjadikan EcoSport sebuah SUV urban yang ideal ketika hendak mencari ruang parkir di pusat beli-belah yang sesak atau melalui laluan berbukit.
Ford EcoSport ini dijanakan oleh enjin 1.5 liter Ti-VCT yang turut dipadankan bersama transmisi klac berkembar enam kelajuan. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 110 PS pada 6,300 rpm dan puncak tork 142 Nm pada 4,400 rpm.
Kemungkinan besar SUV ini bakal dijual pada harga RM98,000 hingga RM108,000 seunit.
Malah SDAC juga dijangkakan bakal membawa masuk varian EcoSport 1.0 liter turbo EcoBoost di Malaysia tidak lama lagi.
Nampak gayanya Ford EcoSport ini akan bakal bersaing dengan Peugeot 2008 yang telah pun berada di pasaran Malaysia pada harga RM120,000. Malah Honda Malaysia juga dikhabarkan bakal membawa masuk Honda Vezel a.k.a HR-V tidak lama lagi. Persaingan yang semakin hebat untuk SUV urban ini di Malaysia!