Holaaaaaa!!! Renault Sandero bersamba di Brazil
Ia tiba di Brazil bukan kerana meraikan Piala Dunia 2014 yang sedang berlangsung di sana. Tetapi ia atas usaha Renault do Brasil sendiri.
Renault Sandero generasi kedua telah pun diperkenalkan di negara berkenaan selepas pengenalan model Logan sedan pada Oktober tahun yang lalu. Malah Renault do Brasil juga sedang gigih untuk memperkenalkan lebih banyak model hatchback di sana.
Sandero merupakan model hasil rebadged Dacias tetapi telah tampil dengan rekaannya yang diperkemaskan terutamanya bahagian luarannya. Ia tampil dengan kekemasan krom, gril dan bampar hadapan yang juga telah direka semula.
Ia dijanakan oleh enjin 1.0 liter 16-injap yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 80 hp. Selain itu, ia juga bakal muncul dengan varian Expression yang dijanakan enjin 1.6 liter lapan-injap.
Ia juga ditampilkan dengan sistem kawalan udara automatik, pengesan parkir belakang dan sistem infotainmen LG Media Nav bersama navigasi serta memiliki sambungan Bluetooth dan USB.
Selain itu, Sandero turut hadir dengan elemen seperti kawalan kelajuan, ABS, beg udara hadapan, EBD, roda stereng balutan kulit, kunci sentral dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat bagi memberikan lebihan kapasiti kargo dari 320 liter ke 1,196 liter.