Kia Cerato 1.6 KX model asas baharu muncul dalam diam -Harga RM90K
Buat setakat ini tiada sebarang pengumuman rasmi dari Naza Kia mengenai kemasukan Kia Cerato 1.6 KX iaitu model asas bagi K3 Cerato. Namun secara senyap-senyap sahaja ia sudah pun berada di bilik pameran Kia pada hujung minggu lalu.
Model KX ini dijual pada harga atas jalan RM89,888 (termasuk insurans), iaitu RM10,000 lebih murah berbanding dengan Cerato 1.6 sedia ada.
Walau pun tidak mengalami sebarang perubahan daripada sudut mekanikal dan masih mengekalkan enjin 1.6 liter Gamma D-CVVT empat silinder yang mampu menghamburkan kuasa 130 PS dan tork 157 NM, ia juga dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan.
Selain mengalami penurunan harga, KX juga dikurangkan beberapa elemen keselamatan iaitu daripada enam beg udara seperti mana model terdahulu, kini ia hanya dilengkapi dengan dua begi udara sahaja. Malah ia juga tidak ditampilkan dengan sistem kawalan cengkaman dan kestabilan. Walau bagaimana pun, ia masih didatangkan dengan ABS, EBD, Bantuan Brek dan juga ISOFIX.
Bukan itu sahaja, imej luarannya juga tidak banyak berbeza berbanding dengan model sedia ada. Di mana lampu belakang kombinasi LED dan jalur krom pada tingkap juga tidak ditampilkan pada model KX, sebaliknya digantikan dengan lampu mentol konvensional. Malah lampu utama pelarasan automatik yang ditampilkan pada model sedia ada telah digantikan dengan kawalan manual.
Pada bahagian kabin juga mengalami sedikit perubahan. Di mana kawalan penghawa dingin dua zon telah digantikan dengan unit manual zon tunggal. Malah ada beberapa elemen yang tiada pada model KX ini seperti pedal aluminium, tempat duduk pemandu dengan pelarasan elektrik dan memori, pedal penukar gear, cermin pandang belakang anti silau dan juga kekemasan lembut pada permukaan pintu.
Apa yang masih dikekalkan bagi model KX ini ialah kemasukan kunci pintar, butang penghidup enjin, kawalan kelajuan, pelarasan roda stereng Flex Steer, pengesan parkir hadapan dan belakang serta kamera undur. Malah KX juga menampilkan skrin sesentuh bagi sistem infotainmen yang turut berfungsi sebagai navigasi.
Model KX ini ditampilkan dengan lima pilihan warna yang sama dengan model sedia ada Cerato, malah juga didatangkan dengan lima tahun waranti tanpa perbatuan terhad.
GALLERY : Kia Cerato 1.6
1 Comment