Proton Saga Executive hadir dengan elemen penambahbaikan
Selain memperkenalkan Persona Executive, dalam masa yang sama Proton turut melancarkan model Saga Executive yang menambahkan lagi variasi bagi kenderaan bajet sederhana.
Saga Executive menerima beberapa elemen penambahbaikan, termasuklah kit badan edisi istimewa, panel konsol tengah dan corong penghawa dingin dan pemegang pintu dengan kekemasan hitam sutera, lampu kabus dengan kekemasan warna kelabu metalik, lampu belakang combi dan tempat duduk balutan kulit.
Bukan itu sahaja, model ini turut diberi penambah baikan bagi pemain audio yang turut dilengkapi dengan sambungan Bluetooth dan microphone yang membolehkan pemandu menjawab panggilan dengan alat bebas tangan pada telefon pintar mereka.
Daripada sudut mekanikalnya, Saga Executive tidak menerima sebarang perubahan. Ia masih dijanakan oleh enjin 1.3 liter yang mampu menghasilkan kuasa 94 hp dan tork 120 Nm serta turut dipadankan dengan transmisi CVT.
Ditawarkan pada enam warna pilihan iaitu Tranquility Black, Fire Red, Genetic Silver, Blue Rock, Solid White dan Elegant Brown, Saga Executive ini dijual pada harga RM41,924 (solid) dan RM42,374 (metalik) bagi varian Manual. Manakala bagi varian Automatik pula, ia berharga RM44,524 (solid) dan RM44,974 (metalik).
Setiap pembelian Saga Executive ini turut didatangkan dengan waranti tiga tahun atau 60,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu).