Subaru XV STI Performance Edition dilancarkan – Harga RM144k
Penghujung 2012, Subaru XV yang dipasang di kilang Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) yang terletak di Segambut, Kuala Lumpur, dilancarkan. Setahun selepas itu, model edisi istimewa Subaru XV Crosstrek pula diperkenalkan ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Motorshow 2013.
Pagi ini, bertempat di Pusat 3S Subaru, Petaling Jaya, Subaru XV STI Performance Edition pula dilancarkan. Ia dilengkapi dengan pelbagai elemen STI dan dijual pada harga RM143,800 (sebelum insurans).
Masih mengekalkan enjin yang sama iaitu 2.0 liter empat silinder Boxer yang mampu menghasilkan kuasa 150 PS pada tahap 6,200 rpm dan tork 196 Nm pada 4,200 rpm.
Dipadankan dengan kotak gear CVT Lineartronic dengan sistem pacuan semua roda (AWD) Active Torque Split. Walau bagaimana pun, jentera ini tampil istimewa dengan kit badan STI termasuklah untuk bahagian hadapan, belakang dan roof spoiler, skirt sisi, lampu pencahayaan siang (DRL) dan juga logo STI Performance.
Manakala bahagian dalamannya pula, turut ditampilkan dengan kawalan suhu krom serta panel kawalan pada roda stereng dan panel sisi dengan kemasan matte silver.
Lain-lain elemen di dalam kabin bagi jentera ini ialah kawalan kelajuan, pengesan undur, pedal penukar gear, sistem AV dengan skrin sesentuh 2-DIN yang dilengkapi sambungan USB, iPOD, Bluetooth dan juga berfungsi sebagai navigasi.
Bagi aspek keselamatan, ia juga ditampilkan dengan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) dan dua beg udara untuk bahagian hadapan serta di bahagian lutut pemandu.
Selain dilengkapi dengan pakej kit badan, Subaru XV STI ini turut diberi penambah baikan bagi kuasa dinamik dan estetiknya melalui padanan pakej STI Performance. Malah untuk menambahkan lagi pengendalian yang lebih mantap, ia juga dipadankan dengan strut bar dan corong angin melalui peredam hadapan dan belakang.
Secara tidak langsung elemen asli Subaru Technica International (STI) yang telah dipadankan membantu memberikan prestasi yang sedikit berlainan melalui talaan khas untuk jentera ini.
Dalam majlis yang sama, Motor Image turut melancarkan Pusat 3S Subaru ini.
Related
Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.