Honda Jazz serba baharu bukan sekadar gaya
Ketika ada antara kita mengharapkan sebuah model kenderaan yang memiliki ciri-ciri seperti keluasan kabin yang memuaskan dan fleksibel, imej penampilan yang sporty, penggunaan bahan api yang efisien, pemanduan yang memuaskan serta harga mampu milik, kemunculan Jazz baharu ini boleh dianggap sebagai ‘Tepat Pada Waktunya’.
Didatangkan dengan tiga varian iaitu Gred S, Gred E dan model spesifikasi tertinggi, Gred V. Malah harga yang diumumkan juga boleh dikatakan mampu milik iaitu RN72,800 bagi Gred S dan Gred E pula berharga RM79,800. Manakala Gred V pula berharga RM87,800.
Malah buat pertama kalinya Honda Malaysia turut membawakan Pakej Mugen untuk model Jazz. Pakej ini terdiri daripada kit badan, spoiler belakang dan logo Mugen yang keseluruhannya bernilai RM4,900.
Selain itu, pilihan Pakej Modulo (kit badan + pedal sports, RM2,650) dan Pakej Utiliti (lampu kaki + pelapik kargo + trunk organiser + panel pemijak iluminasi, RM1,250) turut ditawarkan sebagai pilihan kepada pembeli Jazz baharu ini untuk memberikan kelainan pada jentera mereka.
Untuk mengetahui apakah rahsia keistimewaan yang ingin ditonjolkan oleh Honda Jazz serba baharu ini, Info Kereta berkesempatan menyertai sesi temubual bersama Daisuke Uragami iaitu Assistant Large Project Leader bagi model hatchback generasi ketiga ini, seusai sahaja majlis pelancarannya semalam.
Jazz serba baharu ini tampil dengan imej yang lebih sporty berbanding dengan model terdahulu yang agak ‘mesra pandangan’. Mengapakan perubahan drastik ini dilakukan bagi mengubah gayanya dan bagaiaman pula dengan respons daripada orang ramai mengenainya setakat ini?
Jika anda ingat, model generasi pertama dan kedua Jazz tampil dengan lampu utama yang agak besar, yang membuatkan ia nampak agak comel. Sebenarnya model ini direka untuk pasaran Jepun (yang sinonim dengan benda-benda comel). Tetapi untuk generasi ketiga ini, kami mahukan rekaan yang sesuai untuk pasaran yang lebih meluas. Di mana respons yang diterima daripada kajian yang dilakukan di peringkat global, model Jazz sebelum ini terlalu comel dan nampak feminin. Justeru, kami menampilkan rekaan yang lebih maskulin untuk Jazz baharu ini.
Apabila Jazz baharu ini diperkenalkan di Jepun pada tahun lalu, kami bimbang kemungkinan besar akan mendapat sambutan yang kurang memberangsangkan terutamanya dari golongan wanita dan juga generasi lama. Walau bagaimana pun, suatu hal yang mengejutkan apabila setakat ini Jazz baharu telah mencapai jualan melebihi 200,000 unit di sana. Malah respons yang diberikan oleh para pelanggan di Jepun sangat memberangsangkan.
Model spesifikasi tertinggi, Gred V, menerima kawalan sesentuh untuk sistem infotaimen dan penghawa dingin. Namun terdapat kebimbangan mengenai fungsi dan tahap keselamatan bagi panel kawalan sedemikian. Adakah Honda telah mengambil langkah sewajarnya untuk menangani masalah yang mungkin bakal timbul?
Jika dilihat daripada susun atur bagi rekaan alat kawalan infotainmen, kami telah melatkkan kesemua butang kawalan ke bahagian kanan yang lebih dekat dengan pemandu. Jadi ia memudahkan para pemandu mengawalnya semasa memandu walau pun tanpa melihat alat kawalan tersebut. Manakala butang kawalan audio pada roda stereng juga memudahkan pemandu untuk mengawalnya semasa pemanduan.
Bagi pasaran Malaysia, Jazz baharu ini tidak dilengkapi dengan mod ECON dan kawalan kelajuan. Mengapakah kedua-dua elemen ini tidak ditampilkan?
Ia adalah berdasarkan posisi produk ini bagi pasaran Malaysia. Malah pihak Honda telah melakukan kajian mengenainya berdasarkan model pemasangan tempatan. Di mana spesifikasi untuk Jazz baharu ini merupakan pakej terbaik yang boleh ditawarkan untuk pasaran sini.
Ketika sesi pandu uji Jazz ini di Thailand pada bulan lalu, didapati pengendalian Jazz ini lebih mantap dan responsif berbanding dengan model City serba baharu. Adakah terdapat perubahan yang dilakukan pada sistem suspensi atau sterengnya berbanding dengan model City tersebut?
Ya, terdapat perubahan yang dilakukan berbanding dengan model City. Di mana kestabilannya lebih mantap dan sedikit keras pada bahagian sebelah sisi.
Untuk Jazz baharu ini, ia menampilkan Ultra Seat, di mana tiada pada mana-mana produk Honda sebelum ini termasuklah City bahadu dan juga Vezel/HR-V. Adakah ia memang eksklusif hanya untuk Jazz ini?
Ultra Seat diperlukan kerana tangki bahan api terletak pada bahagian tengah kenderaan, di mana hanya Jazz sahaja yang ditampilkan sedemikian rupa.
Jazz serba baharu ini juga ditawarkan dengan pakej aksesori seperti aerokit sebagai pilihan. Adakah pakej tambahan ini dilihat sebagai salah satu cara untuk meningkatkan jualan model ini?
Sejak dahulu lagi Jazz sangat popular di kalangan generasi muda yang suka memberikan gaya lebih menarik pada kenderaan mereka. Malah di pasaran juga memang banyak terdapat pelbagai aksesori sebegini. Sebab itulah Honda turut menawarkan pakej Modulo dan Mugen sebagai pilihan aksesori.
Walau ia tidaklah begitu murah tetapi diiktiraf oleh Honda sendiri. Tetapi ia juga boleh dimasukkan sekali di dalam pembiayaan pinjaman kenderaan. Di mana pembeli cuma perlu membayar lebih antara RM40 hingga RM50 untuk pakej yang dipilih.
Honda Jazz Mugen
Honda Jazz Modulo