Mazda2/Demio 2015 didedahkan secara rasmi
Mazda telah pun mendedahkan model serba baharu bagi Mazda2/Demio 2015 bakal diproduksi tidak lama lagi. Model ini lebih kurang yang sama dengan model konsep yang pernah ditampilkan bersama konsep Hazumi pada Mac lalu di Geneva Motor Show.
Untuk model ‘rekaan sebenar’ ini, Mazda tetap akan mengimplementasikan konsep rekaan Kodo seperti mana yang diterapkan pada model Mazda3 dan Mazda6 sebelum ini. Bukan setakat ia memiliki persamaan seperti mana model Mazda3 dan Mazda6, namun rekaan kabinnya juga seperti ‘meminjam’ konsep kedua-dua model berkenaan.
Walau pun tidak memberikan pendedahan yang lebih terperinci, difahamkan Mazda2/Demio 2015 ini bakal dibangunkan dengan enjin 1.5 liter SKYACTIV-D diesel yang mampu memberikan kuasa 105 PS pada 4,000 rpm dan 250 Nm pada 1,500 hingga 2,500 rpm.
Malah enjin 1.3 dan 1.5 liter SKYACTIV-G juga akan ditawarkan dengan versi kuasa yang berlainan, bersama kotak gear automatik dan manual.
Begitu juga dengan saiz kerangkannya yang belum dinyatakan secara sahih. Namun kebarangkalian ia lebih kurang sama saiz dengan model konsep Hazumi iaitu 4070mm panjang, 1730mm lebar dan 1450mm tinggi, bersama jarak roda 2585mm.
Dalam masa yang sama, Mazda turut mengesahkan produksi bagi model spesifikasi-JDM Demio ini telah pun bermula di Hofu, Jepun dan ia dijangka bakal dipasarkan di sana pada musim luruh ini. Malah juga akan memasuki pasaran negara lain sebelum 2014 berakhir atau pun awal tahun hadapan.
Model spesifikasi Eropah pula dijangka bakal dipamerkan di Paris Motor Show yang berlangsung pada Oktober ini.