Proton mahu lancar model baharu setiap tahun
Pengerusi Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M), telah mengesahkan model baharu bakal dilancarkan sebelum 2014 melabuhkan tirainya. Menurut laporan yang dipetik menerusi Bernama ini, Tun M juga berkata memandangkan pelanggan mengharapkan Proton menambah baik kualitinya, maka ia telah menelan kos yang tinggi kerana semuanya perlu diperiksa bagi memastikan ia menggunakan bahan-bahan terbaik.
Walau bagaimana pun, Tun M turut berkata harga model baharu itu dijangka lebih murah berbanding model-model lain dalam segmen yang sama, kerana itulah yang sepatutnya bagi kereta Proton.
“Namun ia perlu naik sedikit kerana pelanggan membayar untuk sesuatu yang lebih baik,” ujarnya kepada pihak media selepas majlis pelancaran ‘Drive for Gaza’, inisiatif pengumpulan dana Proton secara kerjasama dengan Yayasan Aman Global Perdana bagi membantu mangsa perang di Palestin.
Berkenaan dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D), Tun M berkata Proton menggunakan wangnya sendiri sejak sekian lama bagi perkara berkaitan dan kerajaan seharusnya membayar balik perbelanjaan itu.
Katanya lagi, di Korea Selatan dan Jepun, kerajaan mereka menyokong sektor swasta dan mereka memperoleh hasilnya daripada cukai yang dikutip.
Dalam masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata Proton berazam untuk terus memperkenalkan model baharu, dan berharap bakal menghasilkan sebuah model setahun sekali bagi memastikan kelangsungan hidup syarikat ini berterusan.
1 Comment