Lakaran awal Kia Sorento 2015/2016 terbongkar
Nampak gayanya rahsia Kia Sorento versi 2015/2016 yang kini dalam proses lakaran awal telah pun terbongkar. Menambahkan rasa teruja untuk menantikan kedatangan model terbaharu bagi SUV crossover ini.
Kelihatan lebih mantap berbanding dengan model sebelumnya, bahagian hadapan SUV ini nampak gayanya telah direka semula bagi memberikan imej yang lebih segar. Malah kelihatan gril telah diapit oleh lampu hadapan, menampakkan sedikit ‘kesempitan’ gayanya. Malah garisan bumbungnya lebih nampak landai tetapi memiliki kerangka yang lebih montok.
Manakala bahagian belakangnya pula dipadankan dengan sistem ekzos berkembar dan lampu belakang yang membujur serta nampak lebih agresif dengan penampilan spoiler.
Dengar cerita, SUV ini bakal dipadankan dengan enjin 2.0 liter 4-silinder bersama pengecas turbo. Malah mungkin juga hadir dengan varian pilihan seperti 3.3 liter GDI V6 dan 2.2 liter CRDI diesel untuk pasaran Eropah.
Sorento ini dijangka bakal diperkenalkan di Korea Selatan pada September ini sebelum dipamerkan di Los Angeles Auto Show November yang akan datang.