Penguatkuasaan cermin gelap ditunda
Buat setakat ini, Kementerian Pengangkutan belum membuat pengumuman rasmi mengenai peraturan cermin gelap. Malah tiada penguatkuasaan terhadap pengguna kenderaan cermin gelap buat sementara waktu ini, menurut laporan Berita Harian.
Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, keputusan peraturan baru penggunaan cermin gelap masih dalam perhatian Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan akan diumumkan pada satu masa yang belum dapat dipastikan.
Katanya, selepas bengkel kajian semula peraturan penggunaan cermin gelap bagi kenderaan pada 3 Jun lalu, satu cadangan perubahan terhadap peraturan itu dikemukakan kepada menteri, namun masih diperhalusi.
Ia turut mengambil kira keputusan yang sudah diputuskan bersama semua pihak, sebarang penguatkuasaan terhadap penggunaan cermin gelap ditangguhkan sementara menunggu pengumuman menteri.
Mengenai semua sekatan jalan raya yang diadakan di seluruh negara sempena Aidilfitri, Abdul Aziz berkata, ia tidak akan memfokuskan kepada kesalahan cermin gelap.
Pada Mei lalu, isu mengenainya hangat diperkatakan. Di mana ada pihak yang menganggap akta mengenai cermin gelap pada kenderaan dianggap lapuk dan tidak lagi relevan untuk diguna pakai. Malah sepatutnya bermula 16 Jun lalu, pihak berkuasa mengadakan operasi besar-besaran yang dipanggil ‘Ops Cermin Gelap’ di seluruh negara. Namun ia ditunda ekoran menerima bantahan daripada pelbagai pihak sehingga mendapat perhatian menteri.
Malah kemneterian turut menganjurkan bengkel kajian semula peraturan penggunaan cermin gelap bagi kenderaan pada 2 dan 3 Jun lalu. Melalui bengkel itu, cadangan kadar ketelusan cahaya (VLT) cermin sisi penumpang belakang dan cermin belakang dikurangkan kepada 30 peratus dari 50 peratus sebelum ini telah diusulkan.
Namun penguatkuasaan akan beri toleransi atau kelonggaran lima peratus lagi mengambil kira ketidaktepatan alat pengukur ketelusan cahaya. Menjadikan ia sebanyak 25 peratus untuk VLT cermin sisi penumpang belakang dan cermin belakang.
Walau bagaimana pun, sehingga kini, kata putus mengenainya masih belum dimuktamadkan lagi.