PDRM kongsi tips pemanduan selamat di FB
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berkongsi tips pemanduan selamat sepanjang musim perayaan ini menerusi laman sosial Facebook rasminya.
Malah turut memuat naik mesej ‘Jangan menyalah gunakan laluan kecemasan. Bukan anda sahaja yang teruja untuk balik ke kampung dan bertemu orang-orang yang tersayang.’ Secara tidak langsung petikan kata ini menggambarkan ‘amaran keras’ pihak berkuasa terhadap pengguna jalan raya yang sengaja menggunakan laluan kecemasan apabila terperangkap di kesesakan lalu lintas semata-mata tidak sabar untuk sampai ke destinasi yang ditujui.
Sikap sebegini sebenarnya boleh mengundang pelbagai perkara termasuk menambahkan lagi kesesakan dan kesulitan di jalan-jalan tersebut, malah turut boleh mengundang kemalangan. Semua pasti sedia maklum, laluan kecemasan adalah untuk perkara-perkara yang membabitkan hal kecemasan sahaja.
Melalui FB juga, PDRM turut memuat naik senarai perkara yang perlu disemak sebelum memulakan perjalanan. Antaranya pemeriksaan kenderaan, dapatkan rehat yang secukupnya, rancang perjalanan dan sebagainya.