Kabin Kia Sorento 2015 pula didedahkan
Pada hujung Julai yang lalu, lakaran imej luaran Kia Sorento 2015 dibongkarkan. Kini giliran lakaran bahagian kabinnya pula didedahkan. Nampaknya pihak Kia sedang giat untuk mempromosikan jentera SUV yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.
Difahamkan, Kia juga akan membuat pendedahan sepenuhnya mengenai Sorento 2015 ini pada penghujung bulan ini di Korea Selatan, sebelum membuat penampilan perdana secara rasmi yang dijadualkan berlangsung pada 2 Oktober ini di Paris Motor Show.
Jika bahagian imej luarannya kelihatan lebih mantap berbanding dengan model sedia ada serta menyerlahkan lagi gaya penuh agresif terutamanya pada bahagian belakang, rekaan kabin juga menerima sentuhan yang agak eksotik dengan elemen kemewahan.
Kekemasan dalamanya menerima material sentuhan lembut dengan pelbagai teknologi yang terkini. Ternyata hasil rekaaan yang dibangunkan oleh pasukan pereka Kia di Frankfurt ini menjadikan gaya Swiss sebagai ilham mereka.
Rekaan bentangan papan pemuka yang tersusun rapi digabungkan dengan roda stereng tiga jejari dan balutan material kulit pada perehat lengan di bahagian tengah. Kelihatan skrin paparan sesentuh pada papan pemuka yang dilengkapi dengan sistem hiburan.
Malah corong penghawa dingin juga ditempatkan pada bahagian tempat duduk belakang bagi memberikan keselesaan jitu kepada para penumpang,
SUV ini turut dikatakan bakal dipadankan dengan enjin 2.0 liter 4-silinder bersama pengecas turbo. Malah mungkin juga hadir dengan varian pilihan seperti 3.3 liter GDI V6 dan 2.2 liter CRDI diesel untuk pasaran Eropah.