Kia Sorento 2015 makin ditampilkan secara zahir
Bakal dipertontonkan secara perdana pada 2 Oktober ini di Paris Motor Show 2014, Kia makin menzahirkan penampilan bagi model Sorento 2015. Bahkan, ternyata imej yang ditampilkan mempunyai kelas yang tersendiri berbanding dengan model sedia ada.
Pada bahagian hadapannya, terserlah gril tiger-nose dengan paten berlian tiga dimensi. Lampu utama sweptback dengan garisan bumbung yang landai memberikan pandangan yang lebih sporty. Ditambah pula dengan kekemasan krom pada lampu utamanya termasuk padanan tailgate-mounted spoiler menyerlahkan lagi gayanya.
Dengan ukuran 4780mm panjang, 1685mm tinggi dan jarak roda 2780mm iaitu pertambahan 80mm berbanding model sedia ada, menjadikan Sorento 2015 ini kelihatan lebih tegap.
Buat setakat ini, Kia masih belum bersedia untuk mendedahkan gambaran sebenar ruangan kabin Sorento 2015. Walau bagaiamana pun lakaran bagi kabinnya telah pun didedahkan pada 6 Ogos yang lalu.
Begitu juga dengan sudut mekanikalnya yang masih menjadi tanda tanya. Namun kemungkinan besar ia bakal dijanakan oleh enjin 2.0 liter 4-silinder bersama pengecas turbo. Malah mungkin juga hadir dengan varian pilihan seperti 3.3 liter GDI V6 dan 2.2 liter CRDI diesel untuk pasaran Eropah.
Sebelum melakukan penampilan perdana di peringkat global di Paris, Kia akan memperkenalkan model ini di Korea Selatan terlebih dahulu dan dijangka berlangsung pada penghujung bulan ini.