Kadar siling bayaran kursus memandu akan diumumkan minggu ini
Pertengahan Julai lalu kecoh di Internet mengatakan kadar siling bagi bayaran kursus memandu naik mendadak serta-merta. Beberapa hari selepas itu, Dato’ Seri Liow Tiong Lai selaku Menteri di Kementerian Pengangkutan dalam kenyataannya menerusi Twitter berkata, kadar tersebut tidak dinaikkan dan kekal seperti yang ada.
Pagi ini BERNAMA melaporkan, kerajaan akan mengumumkan kadar siling bayaran kursus memandu untuk semua kategori berikutan pengenalan silibus baharu minggu ini.
Menurut Liow, kerajaan mengambil keputusan untuk campur tangan apabila terdapat banyak sungutan tentang peningkatan besar bayaran yang akan dikenakan. Walau pun pihak kerajaan tidak boleh mengawal bayarannya, tetapi kenaikan hingga 50 peratus atau 100 peratus seperti yang dicadangkan institut memandu adalah tidak munasabah.
Liow turut berkata, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad telah berbincang dengan institut memandu tentang had maksimum bayaran dan silibus baharu itu.
Di mana kandungan silibus baharu itu disediakan profesional dan sebuah kumpulan pengkaji khas bagi tujuan meningkatkan kemahiran memandu dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sebelum ini, Liow menangguhkan pelaksanaan silibus baharu itu yang sepatutnya bermula awal bulan ini bagi membolehkan JPJ mengkaji semula kandungan dan kosnya.