Perodua Axia sudah boleh ditempah mulai esok – Harga bermula RM24,900
Perodua Axia sudah bersedia meluncur di jalan raya Malaysia apabila Perodua telah mengumumkan tempahan bagi model terbaharunya ini dibuka mulai esok, 15 Ogos 2014.
Kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama di Malaysia ini akan dijual pada harga bermuka RM24,900 (untuk Semenanjung Malaysia, solid). Tempahan bagi model ini adalah antara RM250 dan RM300 bergantung pada varian. Ia boleh ditempah di 180 bilik pameran Perodua di seluruh negara.
Menurut Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, model ini menawarkan penjimatan bahan api yang efisien iaitu 21.6km bagi setiap liter.
Menawarkan empat varian iaitu iaitu Standard E, Standard G, Special Edition dan Advance, ia turut didatangkan dengan waranti lima tahun iaitu konsep pertama yang ditawarkan oleh Perodua. Axia boleh memuatkan empat beg dengan kapasiti ruang kargo sebanyak 260 liter.
Difahamkan, Axia dijanakan oleh enjin 1KR tiga-silinder, iaitu enjin yang sama yang digunakan oleh model Ayla untuk pasaran Indonesia yang dikeluarkan oleh Daihatsu. Enjin berkapasiti 1.0 liter 12-injap DOHC ini mampu menghasilkan kuasa 65 PS pada 5,000 rpm dan tork 87 Nm pada 3,600 rpm.
Nama “Axia” atau sebutannya ‘A-Zee-A’ dipilih hasil gabungan perkataan Asia, manakala abjad “X” pula menunjukkan nombor 10 dalam angka Roman yang mewakili model ke-10 yang dikeluarkan Perodua.
Bakal dilancarkan tidak lama lagi, Axia merupakan model generasi akan datang yang diproduksi menerusi pemodenan Perodua dan dari kilang pengeluaran mesra alam terbaharu syarikat berkenaan.
Menurut Aminar lagi, Perodua yakin model ini mampu berdaya saing untuk pasaran di rantau ini, kerana itulah perkataan “Asia” digunakan, selain ia menjadi satu standard baharu bagi syarikat berkenaan.
Di mana Perodua telah memperkenalkan empat garis utama bagi menepati standard tersebut iaitu mesra alam, ruang luas untuk kereta kompak, pemanduan mudah dan ekonomik dari segi kos pemilikan.
Dengan slogan “Your Smart Move”, Perodua mengharapkan Axia menjadi wakil usaha mereka untuk menjadi lebih berdaya saing di peringkat global dari segi gaya, fungsi dan harga yang kompetitif.