Toyota Camry 2015 bakal muncul di Moscow
Sebelum membuat penampilan perdana di Moscow Motor Show tidak lama lagi, Toyota telah pun mengeluarkan imej teaser bagi model Camry 2015.
Difahamkan model yang bakal dipasarkan di peringkat global ini lebih konservatif berbanding dengan model bagi Amerika Utara yang pernah diperkenalkan di New York Auto Show awal tahun ini.
Walau pun imej yang dipaparkan ini tidak begitu jelas kelihatan, namun boleh dilihat gril kecil dengan lampu utama yang direka semula yang dipadankan dengan lampu pencahayaan siang LED. Model ini turut menggunakan logo rasmi Toyota dengan cermin sisi yang kelihatan seperti model sebelum ini.
Pihak Toyota masih belum mendedahkan lagi penjana kuasa bagi Camry facelift ini namun kemungkinan besar ia turut menampilkan enjin 2.5 liter empat-silinder dan juga 3.5 liter V6.