Perodua Axia – Foto hadapan varian standard didedahkan
Jika sebelum ini kita disajikan dengan imej hadapan dan belakang bagi varian SE dan Advance, hari ini Perodua mendedahkan pula foto hadapan Perodua Axia bagi varian Standard E dan G. Di mana ia memiliki imej hadapan yang berbeza berbanding dengan varian SE (Special Edition) dan AV (Advance).
Menampilkan lampu utama reflektor, bampar hadapannya juga kelihatan lebih kecil berbanding dengan varian SE dan Advance. Malah ia juga tidak menampilkan lampu kabus seperti mana dua varian spesikasi tertinggi yang dinyatakan. Ternyata imej yang lebih ringkas dipertaruhkan untuk varian yang berharga bermula RM24,900 ini.
Dalam kenyataan yang disampaikan oleh Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid, selepas tempahannya dibuka mulai 15 Ogos lalu, sehingga pagi ini sebanyak 3,500 unit tempahan telah diterima.
Malah Aminar turut menegaskan, kelahiran Axia adalah bukan bagi menggantikan model Viva seperti mana yang hangat diperkatakan sebelum ini. Malah model Viva akan terus diproduksi berdasarkan permintaan pasaran.
Perodua Axia dijangka bakal dilancarkan pada awal September ini.
Dalam sesi pra-pengenalan Axia kepada pihak media yang berlangsung petang ini, Info Kereta juga berpeluang memandu uji dua varian Axia iaitu Standard E (transmisi manual) dan SE (transmisi auto) dalam tempoh lima lima bagi setiap satu daripadanya. Jadi sukar juga untuk membuat ulasan yang lebih terperinci mengenai sesi pandu uji ini. Malah perician yang dikhabarkan kepada pihak media juga masih embargo sehingga hari pelancarannya kelak.
Apa yang boleh Info Kereta katakan, Perodua Axia ini merupakan sebuah kereta kompak EEV yang pastinya menepati cita rasa rakyat Malaysia, selain ditawarkan pada harga yang berpatutan, ia juga diyakini mampu memberikan penjimatan bahan api yang efisien.
Malah difahamkan enjin dan transmisi yang dipadankan untuk Axia ini adalah serba baharu dan merupakan yang pertama kali digunakan untuk barisan model Perodua. Dan Info Kereta juga mendapati kedua-dua transmisi yang digunakan lebih lancar berbanding dengan model Myvi atau Viva.
Bukan itu sahaja, ia juga menampilkan ruang dalaman yang lebih luas terutamanya untuk ruang kaki pada bahagian tempat duduk belakang serta ruang kargo yang lebih besar berbanding dengan Myvi. Kagum kan!