Mitsubishi 4×4 bakal membuat persembahan lasak di lokasi terpilih mulai hujung minggu ini
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bakal menganjurkan persembahan hebat lagikan lasak yang membabitkan jentera Mitsubishi 4X4 dalam acara yang diinspirasi daripada 2014 Pikes Peak International Hill Climb Challenge. Di mana persembahan bakal menyaksikan aksi penuh lasak yang dipacukan bersama jentera Mitsubishi 4X4 merentasi pelbagai corak jalan yang penuh rintangan dan cabaran.
Acara Mitsubishi Red Peak Challenge ini membabitkan jentera seperti Triton, Pajero Sport dan juga ASX dengan membabitkan aksi seperti merentasi laluan securam 45 darjah, mendaki “sky ramp” setinggi 25 kaki dan sebagainya.
Mitsubishi Red Peak Challenge akan memulakan penjelajahannya pada 23 Ogos ini dengan memilih Pulau Pinang sebagai lokasi pertamanya. Minggu berikutnya ia akan bergerak ke Johor Bahru dan bakal berakhir di Kelantan pada penghujung September ini.
Melalui acara ini juga, para pengunjung turut berpeluang memandu uji mana-mana jentera Mitsubishi dan hadiah menarik juga bakal menanti anda. Malah pengunjung yang membuat tempahan untuk mana-mana model Mitsubishi sepanjang Mitsubishi Red Peak Challenge berlangsung juga berpeluang menerima barangan istimewa daripada Ralliart.