Sime Darby Auto Hyundai pelawa orang ramai sertai kempen amal di Sabah
Sime Darby Auto Hyundai (SDAH) mempelawa orang ramai untuk menyertai kempen komuniti bagi program amal ‘Experience Hyundai. We Care, We Donate’. Kempen ini adalah bagi menyalurkan bantuan pada Pusat Terapi Komuniti Bukit Harapan yang terletak di Menggatal, Sabah.
Kempen ‘Experience Hyundai. We Care, We Donate’ ini telah bermula pada 22 Ogos lalu dan dijangka berakhir pada 22 Oktober ini di pusat 3S SDAH, Kota Kinabalu. Sepanjang kempen ini berlangsung, SDAH akan menderma mengikut amaun tertentu bagi setiap model kenderaan Hyundai yang dipandu uji, dibeli dan diselenggara.
Di mana sebanyak RM3 akan disalurkan bagi setiap model Hyundai yang dipandu uji, RM100 untuk setiap pembelian mana-mana model Hyundai dan juga RM5 untuk setiap kenderaan yang diselenggara.
Pusat Terapi Komuniti Bukit Harapan yang ditubuhkan sejak tahun 1988 memberikan bantuan kepada golongan kurang upaya dan yang kurang bernasib baik. Buat setakat ini, ia menempatkan 42 orang kanak-kanak dan dewasa.
Menurut Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors, Lau Yit Mun, Pusat Terapi Komuniti Bukit Harapan ini memerlukan perbelanjaan sebanyak RM33,000 sebulan untuk penyelenggaraan dan usaha yang dilakukan oleh SDAH ini diharap dapat membantu mengurangkan beban pusat kebajikan ini.
SDAH mensasarkan bantuan sekurang-kurangnya sebanyak RM5,000 untuk kempen ini dan mengalu-alukan penyertaan orang ramai untuk mengambil bahagian bagi menjayakan program amal yang dijalankan.