Nissan 370Z Nismo 2015 versi Eropah bersiap sedia dilancarkan
Pertama kali mendedahkannya di Carolina Utara sempena dengan festival ZDayZ pada Mei yang lalu dan ia merupakan model bagi pasaran Amerika Utara. Kini Nissan telah pun membuat keputusan untuk membawanya ke pasaran Eropah pula pada bulan September ini. Manakala bagi pasaran Amerika Syarikat, ia telah pun selamat tiba di negara berkenaan pada Julai yang lalu.
Sama seperti versi Amerika Utara, model Nissan 370Z Nismo spesifikasi Eropah ini telah diberi penambah baikan pada bahagian hadapan dengan menampilkan bampar hasil rekaan semula bersama dengan corong udara yang lebih besar, lampu pencahayaan siang LED baharu dan corong kemasukan udara pada gerbang tayar.
Model Sport Coupe ini juga menerima kekemasan Nismo berwarna merah pada bampar, cermin pintu yang telah dimodifikasi, logo Nismo dan juga rim aloi dua tona bersaiz 19 inci yang baharu.
370Z Nismo ini dijanakan oleh enjin 3.7 liter V6 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 350hp dan puncak tork 374Nm. Tidak seperti model untuk Amerika Utara yang dipadankan dengan kotak gear automatik tujuh-kelajuan, versi Eropah ini pula hanya didatangkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.