Hyundai Elantra pemasangan Inokom turut dieksport ke Thailand
INOKOM Corporation Sdn Bhd (Inokom) baru sahaja memeterai perjanjian dengan Hyundai Motor (Thailand) Co.Ltd. (HMC Thailand) bagi memasang dan mengeksport 1,000 unit Hyundai Elantra ke negara berkenaan untuk tahun pertama.
Buat masa ini, hanya model Elantra NU 1.8L sahaja yang dieksport ke Thailand. Namun bagi perjanjian ini, HMC Thailand telah menawarkan tiga varian Elantra 1.8L untuk dieksport ke sana iaitu 1.8 GLS Navi, 1.8 GLE dan 1.8 GL.
Inokom yang merupakan anak syarikat kepada Sime Darby Motors, telah pun mula memasang dan mengeksport 200 unit pertama Elantra sejak Jun yang lalu. Manakala lagi 200 unit telah pun disiapkan dan bakal dihantar ke Thailand pada awal September ini.
Bilangan unit untuk dieksport ke Thailand dijangka meningkat seiring dengan permintaan pasaran di mana model pemasangan Malaysia diketahui lebih murah berikutan Perjanjian Perdagangan Bebas Kawasan ASEAN
Bilangan unit untuk dieksport ke Thailand dijangka meningkat seiring dengan permintaan pasaran sebagai model yang dipasang di Malaysia lebih murah berikutan Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).
Menurut Presiden Hyundai Motor (Thailand), Hideki Yanagisawa, harga pengenalan bagi Elantra bermula dari THB749,000 (RM74,800) untuk 1.8 GL A/T, THB819,000 (RM81,800) bagi 1.8 GLE dan 1.8 GLS Navi pula THB898,000 (RM89,600).
Yanagisawa juga berkata, ini merupakan kerjasama pertama antara Hyundai Motor (Thailand) dan Inokom. Malah menerusi perjanjian yang dimeterai ini, ia diharap akan berterusan pada masa hadapan untuk lain-lain model Hyundai.
Pengarah Urusan Inokom, Rizal Jailan pula berkata, kerjasama ini dilihat mampu membuka lebih banyak peluang perniagaan buat Inokom, terutamanya bagi model Hyundai pemasangan tempatan. Malah ia juga dijadikan pemangkin buat Inokom untuk terus memproduksikan kenderaan yang bermutu tinggi.
Inokom juga mahu memberikan penekanan pada kualiti, produktiviti dan kecekapan. Ia juga akan memastikan Inokom berupaya kekal untuk berdaya saing di dalam pasaran domestik dan eksport. Malah Inokom juga sentiasa berusaha mencari jalan bagi menjalinkan hubungan kerjasama dalam jangka masa yang panjang dengan HMC Thailand.
Dengan inisiatif eksport ini, Inokom juga berharap untuk mengukuhkan lagi sokongan terhadap Dasar Automotif Negara (NAP) dengan melahirkan lebih banyak vendor serta menambahkan lagi penglibatan vendor tempatan yang sedia ada.
Kilang pemasangan Inokom yang terletak di Kulim, Kedah ini berkeluasan 100 ekar, mampu menghasilkan kapasiti sebanyak 27,000 model CKD setahun. Selain daripada Elantra, Inokom turut memasang model Hyundai Santa Fe dan i10 untuk pasaran domestik yang diedarkan oleh Hyundai-Sime Darby Motors.