AXA Drive aplikasi mobiliti bagi meningkatkan lagi keselamatan pemanduan
Bagi meningkatkan lagi kesedaran mengenai aspek keselamatan di dalam pemanduan, AXA Affin General Insurance Berhad (AXA Affin) baru sahaja melancarkan AXA Drive, aplikasi mobiliti yang dibina berteraskan teknologi telematik dan gerakan penderiaan.
Di mana aplikasi ini berkeupayaan merekodkan data cara pemanduan kenderaan termasuk daripada segi pecutan, brek dan membelok. Kemudian ia akan memberikan skor atau pemarkahan pada akhir perjalanan terbabit.
Menurut CEO AXA Affin, Emmanuel Nivet, syarikat ini sangat peka terhadap keselamatan jalan raya. Justeru, ia menjadi objektif mereka untuk menawarkan pelindungan yang terbaik. AXA Drive adalah salah satu inovasi AXA Affin bagi meningkatkan lagi pemanduan selamat di kalangan para pemandu di Malaysia.
Membangunkan sendiri aplikasi ini, AXA Drive diadaptasi bagi kesesuaian keadaan jalan raya dan trafik di Malaysia. Di mana aplikasi ini membenarkan pengguna untuk memasukkan profil pemandu dan berkongsikan markah yang diperoleh menerusi Facebook, Twitter dan Google+. Malahan markah yang diperoleh juga membolehkan mereka bersaing dengan rakan-rakan yang turut menggunakan aplikasi yang sama.
Bukan itu sahaja, aplikasi ini juga menyediakan peta dan laluan utama bagi perjalanan para pengguna. Malahan turut berkongsi tips pemanduan selamat termasuk cara untuk mengelakkan kemalanagan. Setakat ini, AXA Drive telah dimuat turun oleh lebih 400,000 pengguna di seluruh dunia.
Mengikut kajian yang dilakukan oleh University of Michigan pada Februari yang lalu, Malaysia telah tersenarai antara 25 negara yang berbahaya bagi pengguna jalan raya. Di mana sebanyak 30 kematian bagi setiap 100,000 individu telah dicatatkan.
AXA Drive boleh digunakan oleh semua pemilik kenderaan, tidak kira kenderaan persendirian, bas mahu pun lori. Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma menerusi App Store (iOS) dan Google Play (Android).
Bermula September hingga November ini, pengguna AXA Drive berpeluang memenangi hadiah menarik jika menyertai “Be A Safe Driver with #AXADriveMY Contest”. Apa yang perlu dilakukan ialah memaparkan markah pemanduan tertinggi yang diperoleh menerusi Facebook daan meletakkan hashtag #AXADriveMY.