GST mampu merangsang permintaan ke atas kenderaan – MAI
Sebelum ini berdegar-degar pelbagai perkhabaran terutamanya di kalangan jaguh-papan-kekunci atau keyboard warrior yang sering memperkatakan bahawa harga kenderaan pasti naik apabila kerajaan Malaysia bakal melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2015 ini.
Malah ada juga berpendapat, kenaikan harga ini pastinya menambahkan beban rakyat Malaysia yang ingin memiliki kenderaan baharu, di samping peningkatan taraf hidup di negara ini yang kian meruncing.
Baru-baru ini BERNAMA melaporkan kenyataan CEO Institut Automotif Malaysia (MAI) iaitu Mohamad Madani Sahari, berhubung dengan pelaksanaan GST terhadap kenderaan.
Menurut Madani, pelaksanaan GST pada tahun hadapan sebenarnya mampu merangsang ke atas kenderaan berikutan pemansuhan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Di mana secara tidak langsung ia menyebabkan penurunan harga kenderaan walau pun mungkin bukan dalam impak yang besar.
GST pada kadar enam peratus itu dijangka dilaksanakan pada 2015 bagi menggantikan SST sebanyak 10 peratus yang dimansuhkan pada 1 April tahun yang sama.
Sebelum ini, MAI telah melaporkan bahawa Jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun ini lebih baik berbanding tahun lepas. Di mana TIV untuk tempoh Januari hingga Julai adalah sebanyak 11,490 unit atau tiga peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2013. Faktor peningkatan ini didorong oleh kempen jualan yang agresif.