Perodua Alza versi 2014 akan datang Januari ini!
Nampak gayanya suku pertama 2014 bakal dimeriahkan dengan kedatangan pelbagai model kenderaan baharu ataupun yang dinaik tarafkan. Perodua juga tidak mahu ketinggalan di dalam merancakkan lagi industri automotif tempatan. Walau pun tidak memperkenalkan model terkini, namun Januari ini, Perodua bakal memperkenalkan Perodua Alza serba baharu dan kempennya telah pun bermula seperti mana yang dipaparkan melalui laman sesawang rasminya.
Walau pun tidak mempunyai gambaran yang lebih jelas dengan rekaan luaran dan dalaman MPV mini ini namun jika dilihat daripada sedikit foto yang dipaparkan menerusi laman sesawang terbabit, nampak gayanya Alza serba baharu ini turut diberikan suntikan sporty bagi menampilkan imej yang lebih segar dan menarik pandangan.
Melalui teaser yang didedahkan ini, Alza serba baharu dipadankan dengan rekaan meter kluster yang lebih stylish, sistem ISOFIX, rekaan baru sistem multimedia yang dilengkapi dengan fungsi navigasi dan kamera undur, tempat rehat lengan di bahagian konsol tengah antara tempat duduk pemandu dan penumpang di sebelah yang turut berfungsi sebagai kotak storan, kekemasan ruang kabin dengan dua tona warna hitam dan kelabu menawan dan monitor pada bumbung bahagian dalaman.
Selain daripada itu, elemen tambahan yang menarik juga ada pada kemudahan kerusi penumpang di barisan ketiga yang boleh dilipat bagi memberikan ruang yang lebih luas terutamanya jika ingin memuatkan barangan di bahagian kargo.
Nampak gayanya model ini telah menerima transformasi besar-besaran untuk bahagian luaran dan dalaman. Dengan tagline baharunya, “The Alza For Everyone” pastinya Perodua mahu memberikan pilihan terbaik dengan tawaran harga yang cukup berbaloi. Malah Perodua Alza ini turut menerima pengiktirafan daripada Asean NCAP.
Tak sabar mahu mengetahui apakah keistimewaan yang ditampilkan pada Alza serba baharu ini? Sama-samalah kita menantikan kedatangan Januari ini!